Wednesday, 1 January 2020

Xhaka kekal di Arsenal

JURULATIH Arsenal, Mikel Arteta menyatakan Granit Xhaka akan kekal di kelab itu selepas pemain tengah Switzerland itu menghasilkan persembahan terpuji ketika membantu kelab itu menang 2-0 ke atas Manchester United, awal pagi tadi.
Xhaka dikecam hebat awal musim ini selepas dia berang terhadap penyokong yang mengejeknya apabila dia dikeluarkan ketika seri 2-2 di laman sendiri dengan Crystal Palace, Oktober lalu.
Insiden itu juga menyebabkannya dilucutkan lilitan kapten dan menyaksikannya diketepikan oleh pengendali terdahulu Unai Emery selama sebulan.
Xhaka memulakan enam daripada lapan aksi terakhir Arsenal dalam liga namun akhbar Britain, The Times melaporkan kelmarin dia mahu berpindah bulan ini, menyatakan pemain berusia 27 tahun itu menyasarkan untuk menyertai kelab Bundesliga, Hertha Berlin.

Arteta bagaimanapun menegaskan pemain tengah itu memberitahunya dia mahu kekal di utara London, selain memuji persembahannya menentang United, yang juga kemenangan pertama Arsenal dalam lima perlawanan sekali gus melonjak ke tangga ke-10.
“Saya fikir dia akan kekal. Saya amat sukakannya. Jika kami dapat mengekalkannya dia boleh menjadi pemain terbilang buat kelab ini,” kata pengendali dari Sepanyol itu pada sidang akhbar.
“Saya sukakan caranya. Dia seorang pemain bola sepak hebat. Hari ini dia cemerlang mengekang hantaran lawan dan dia juga melakukan banyak hantaran tepat. Saya suka betapa fokusnya dia, keinginannya untuk belajar.”