Showing posts with label U19. Show all posts
Showing posts with label U19. Show all posts

Saturday, 14 July 2018

MALAYSIA Juara Piala AFF bawah 19


KUALA LUMPUR - Malaysia menamatkan badi kejuaraan apabila menumpaskan Myanmar 4-3 untuk muncul juara Kejohanan Bola Sepak Piala Persekutuan Bola Sepak ASEAN (AFF) Bawah 19 Tahun (B-19) di Stadium Delta Sidoarjo, Surabaya, Indonesia, malam ini.
Skuad muda negara bimbingan Bojan Hodak yang sekadar muncul naib juara sebanyak lima kali, akhirnya meraih kejuaraan sulung apabila Nik Akif Syahiran Nik Mat meledakkan gol kemenangan pada minit ke-90 pada perlawanan penuh dramatik itu.
Untuk rekod, Malaysia sekadar muncul naib juara pada 2003, 2005, 2006, 2007 dan 2017.
Pada aksi final, skuad negara, yang mengalahkan Myanmar 1-0 pada perlawanan kumpulan Selasa lalu, mendahului 2-0, hasil jaringan Awang Muhammad Faiz Hazziq  seawal minit ketiga dan Nik Akif Syahiran pada minit ke-18.
Myanmar, bagaimanapun, berjaya menyamakan kedudukan hasil dua jaringan pantas Win Naing Tun pada minit ke-23 dan 26, sebelum mendahului babak pertama perlawanan menerusi jaringan Myat Kaung Khant pada minit ke-31.
Sebaik sahaja babak kedua bermula, Malaysia melancarkan serangan bertali arus ke kubu Myanmar dan akhirnya, Shivan Pillay Asokan menyamakan kedudukan menjadi 3-3 pada minit ke-75.
Bagaimanapun, Nik Akif Syahiran muncul wira skuad negara dengan jaringan emas bagi menamatkan penantian Malaysia selama 16 tahun sejak kejohanan itu diperkenalkan pada 2002. - Bernama



Kejohanan Persekutuan Bola Sepak ASEAN (AFF) Bawah 19 Tahun : Indonesia mohon maaf


KUALA LUMPUR - Menteri Pemuda dan Olahraga Indonesia, Imam Nahrawi, memohon maaf atas tindakan provokasi penyokong tuan rumah di Stadium Gelora Delta Sidoarjo selepas Malaysia menewaskan Indonesia dalam aksi separuh akhir Kejohanan Persekutuan Bola Sepak ASEAN (AFF) Bawah 19 Tahun (B19), di Surbaya, Khamis  lalu.
Beliau membuat permohonan maaf secara terbuka menerusi entri di Instagramnya dengan memuat naik gambar pertemuan dengan Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, semalam.
"Banyak hal dibicarakan, soal persiapan Sukan Asia 2018, harmoni Indonesia-Malaysia, juga soal tekwan dan pempek (masakan khas) Palembang yang pedas, soal kawasan Sport City Jakabaring, sampai soal keluarga dan karier. 
"Soal perlakuan supporter kepada  timnas Sepakbola u/19 Malaysia di Piala AFF di Sidoarjo, saya harus mohon maaf atas peristiwa tidak nyaman itu kepada beliau dan seluruh rakyat Malaysia," katanya.
Pada aksi separuh akhir itu, penonton Indonesia menimbulkan kekecohan di stadium apabila Malaysia menewaskan pasukan tuan rumah menerusi penentuan sepakan penalti 3-2 selepas aksi sebenar terikat 1-1.
Akibat tidak berpuas hati dengan kekalahan itu, penyokong tuan rumah melemparkan  botol dan pelbagai objek ke arah pemain dan pegawai Malaysia.
Sementara itu, Syed Saddiq dijadual menyaksikan perlawanan akhir antara Malaysia dan Myanmar malam ini. - Bernama