Showing posts with label Brendan Gan. Show all posts
Showing posts with label Brendan Gan. Show all posts

Monday, 29 October 2018

Brendan tidak sangka capai impian julang Piala Malaysia, pemain terbaik

BRENDAN (kanan) meraikan kejayaan bersama para penyokong Perak selepas kejayaan menjulang Piala Malaysia di Stadium Shah Alam malam kelmarin.

PEMAIN berdarah kacukan skuad Perak, Brendan Gan mengakui tidak menyangka impiannya untuk menjulang Piala Malaysia tercapai selepas membantu pasukannya menewaskan Terengganu FC I (TFC I) di pentas final penuh dramatik di Stadium Shah Alam kelmarin.
Lebih manis, Brendan dinobatkan sebagai Pemain Terbaik Perlawanan pada aksi yang terpaksa berlanjutan sehingga penentuan sepakan penalti selepas kedua-dua pasukan terikat 3-3.
Pemain kacukan Malaysia-Australia itu menghidupkan peluang buat Perak yang ketinggalan 0-2 selepas tamat babak pertama dengan mencipta peluang jaringan buat Muhd. Firdaus Saiyadi sebelum meledak gol peribadi pada masa kecederaan babak kedua.
Brendan berkata, menjaringkan gol di pentas final bagaikan mimpi menjadi kenyataan memandangkan dia tidak begitu mahir dalam menembusi gawang lawan berdasarkan rekod jaringan yang dilakukan sepanjang kariernya.
“Saya bergurau dengan rakan sepasukan pada sesi latihan sebelum aksi final ini bahawa saya akan menjaringkan gol pada saat genting. Lebih menarik, ini adalah jaringan pertama saya menggunakan kaki kiri.
“Apa yang pasti, saya gembira dapat menghidupkan peluang Perak untuk mengheret perlawanan ke masa tambahan kerana pasukan kami berhak meraih keputusan tersebut,” katanya selepas tamat perlawanan.
Mengulas lanjut, kejayaan merangkul trofi pertama dalam kariernya itu dilihat mampu memadam memori hitam selepas bergelut dengan kecederaan sepanjang tahun lalu.
“Saya mengharungi musim sukar tahun lalu dengan beberapa siri kecede­raan berulang. Menjulang Piala Malaysia boleh dianggap satu bonus memandangkan ia trofi pertama dalam karier saya.
“Buat masa ini, saya mahu meraikan kemenangan ini terlebih dulu sebelum memikirkan masa depan saya (sama ada mahu kekal bersama Perak atau sebaliknya,” kata bekas pemain Kelantan berusia 30 tahun itu.

Saturday, 27 October 2018

The Bos Gaurus dakap Piala Malaysia 2018, Penyu menangis lagi

Bangkit dari ketinggalan dua kali untuk julang trofi kelapan menerusi sepakan penalti

SHAH ALAM - Kemarau 18 tahun skuad Perak berakhir selepas berjaya mendakap trofi Piala Malaysia kelapan dalam sejarah dengan menewaskan Terengganu FC I (TFC I) 4-1 selepas kedua-dua pasukan terikat 3-3 pada aksi final yang penuh epik dan kontroversi di Stadium Shah Alam sebentar tadi.
Pada perlawanan tersebut, skuad kendalian Irfan Bakti Abu Salim hanya memerlukan kurang 60 saat untuk mendahului hasil ledakan kapten pasukan, Tchetche Kipre  yang bijak menggunakan peluang terhidang hasil kelekaan barisan pertahanan Perak.
Pasukan The Bos Gaurus kemudiannya berjaya menyamakan kedudukan menerusi tandukan Leandro Dos Santos tetapi jaringan tersebut dibatalkan oleh pengadil perlawanan, Suresh Jayamaran kerana mengasari penjaga gol TFC I.

Kesempatan tersebut digunakan sepenuhnya oleh Kepre sekali lagi menghukum benteng pertahanan Perak dengan gol kedua peribadi pada minit ke-42 untuk memberi bekalan selesa buat skuad Sang Penyu pada babak pertama.

Bersambung pada babak kedua, skuad kendalian Mehmet Durakovic tampil lebih yakin dan berjaya meraih gol 'semangat' menerusi ledakan Muhd. Firdaus Saiyadi pada minit ke-46.

Perak sekali lagi dihampakan apabila gol penyamaan jaringan penyerang sensasi, Gilmar Da Silva sejurus selepas itu dibatalkan kerana ofsaid.

Pemain Terengganu meraikan jaringan pertama mereka yang juga merupakan gol terpantas di pentas final Piala Malaysia setakat ini. - Foto AZRUL EDHAM MOHD AMINUDDIN

Perlawanan yang disaksikan hampir 80,000 penyokong itu mula menimbulkan kontroversi apabila Da Silva dilayangkan kad merah kerana membantah keputusan pengadil pada minit ke-60.
Skuad TFC I turut menerima nasib yang sama apabila pemain berpengaruh, Lee Andrew Tuck diarah keluar padang selepas mengasari Brendan Gan pada minit ke-67.
Pemain Terengganu, Abdul Malik Mat Ariff (kiri) diasak dua pemain Perak dalam perlawanan akhir Piala Malaysia 2018 di Stadium Shah Alam di sini hari ini. - Foto AZRUL EDHAM MOHD AMINUDDIN
Perak kembali mengikat kedudukan menjadi 2-2 selepas Brendan Gan meledak gol penyamaan pada masa kecederaan untuk mengheret perlawanan ke masa tambahan.
TFC I kembali mendahului apabila pemain lincah, Mohd. Faiz Nasir menjaringkan gol cantik dari luar kotak pada minit-96.
Semangat pantang menyerah kalah pasukan Perak dengan melakukan asakan bertali arus membuahkan hasil selepas memaksa pertahanan TFC I, Igor Zonjic menjaringkan gol sendiri  pada penghujung masa tambahan untuk memastikan saingan diputuskan dengan penentuan sepakan penalti. 
Penjaga gol Perak, Hafizul Hakim muncul wira dengan menyelamatkan dua sepakan pemain TFC I untuk memastikan Perak mendakap Piala Malaysia buat kali pertama sejak tempoh 18 tahun. - K! ONLINE

Barisan pemain utama Perak yang berjaya membawa pulang gelaran kelapan Piala Malaysia malam ini. - Foto AZRUL EDHAM MOHD AMINUDDIN

#FINALygEpic
#BestEver Final PM
#KadKuningKadMerah
#kesilapanpertahananmembawapadah
#Xtratime #sepakanpenalti


PEMAIN TERBAIK PERLAWANAN - BRENDAN GAN