Showing posts with label Indonesia. Show all posts
Showing posts with label Indonesia. Show all posts

Saturday, 7 September 2019

Kelayakan Piala Dunia 2022 : Penjaga gol Indonesia kecewa sikap penyokong

JAKARTA - Penjaga gol Indonesia, Andritany Ardhiyasa tidak dapat menyembunyikan perasaan kecewanya terhadap sikap ganas penyokong skuad Garuda itu pada pertembungan antara Indonesia dan Malaysia di Stadium Gelora Bung Karno, semalam.
Pada aksi sulung Kumpulan G pusingan kedua Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 itu, Malaysia bangkit daripada ketinggalan untuk melakar kemenangan dramatik 3-2 di hadapan lebih 50,000 penyokong skuad Garuda.

Mengakui terkesan dengan keputusan itu terutama selepas mendahului 2-1 pada satu ketika, Andritany menyifatkan tindakan penyokong Indonesia yang merusuh menceroboh masuk kawasan stadium dan menyerang kawasan penonton dari kalangan penyokong Malaysia itu lebih menyakitkan hatinya.
"Cukup sakit. Kerana kita sudah mendahului dua kali dan akhirnya kalah 3-2. Sedih pasti, kecewa pasti, tapi jujur hati saya lebih sakit melihat kejadian apa yang terjadi di stadium," katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas perlawanan. 



"Ini sangat mencalar nama baik Indonesia, semestinya apa pun kejadiannya, hasil dari sebuah pertandingan kita harus ambil manis semua. Sebagai kapten team nasional saya sangat sedih melihat apa yang terjadi dan apa dilakukan supporter malam ini," tambahnya.
Selain daripada rusuhan itu yang terjadi susulan gol penyamaan negara oleh pemain tengah Muhammad Syafiq Ahmad pada minit ke-65, penyokong tuan rumah turut membaling botol dan pelbagai objek termasuk suar dari tingkat atas kawasan penyokong negara.
Insiden itu memaksa pengadil dari Korea Selatan, Ko Hyungjin menghentikan perlawanan selama hampir 10 minit.
Bagaimanapun, selepas keadaan kembali terkawal, tiada sebarang insiden tercetus sehingga wisel penamat yang menyaksikan Malaysia di bawah bimbingan ketua jurulatih Tan Cheng Hoe membawa pulang tiga mata berharga.
Namun, skuad Harimau Malaya termasuk kesemua pegawai pasukan terpaksa dibawa keluar dari stadium itu dengan menaiki kereta perisai ke hotel penginapan atas faktor keselamatan selepas tamat perlawanan. - Bernama

Saturday, 14 July 2018

Kejohanan Persekutuan Bola Sepak ASEAN (AFF) Bawah 19 Tahun : Indonesia mohon maaf


KUALA LUMPUR - Menteri Pemuda dan Olahraga Indonesia, Imam Nahrawi, memohon maaf atas tindakan provokasi penyokong tuan rumah di Stadium Gelora Delta Sidoarjo selepas Malaysia menewaskan Indonesia dalam aksi separuh akhir Kejohanan Persekutuan Bola Sepak ASEAN (AFF) Bawah 19 Tahun (B19), di Surbaya, Khamis  lalu.
Beliau membuat permohonan maaf secara terbuka menerusi entri di Instagramnya dengan memuat naik gambar pertemuan dengan Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, semalam.
"Banyak hal dibicarakan, soal persiapan Sukan Asia 2018, harmoni Indonesia-Malaysia, juga soal tekwan dan pempek (masakan khas) Palembang yang pedas, soal kawasan Sport City Jakabaring, sampai soal keluarga dan karier. 
"Soal perlakuan supporter kepada  timnas Sepakbola u/19 Malaysia di Piala AFF di Sidoarjo, saya harus mohon maaf atas peristiwa tidak nyaman itu kepada beliau dan seluruh rakyat Malaysia," katanya.
Pada aksi separuh akhir itu, penonton Indonesia menimbulkan kekecohan di stadium apabila Malaysia menewaskan pasukan tuan rumah menerusi penentuan sepakan penalti 3-2 selepas aksi sebenar terikat 1-1.
Akibat tidak berpuas hati dengan kekalahan itu, penyokong tuan rumah melemparkan  botol dan pelbagai objek ke arah pemain dan pegawai Malaysia.
Sementara itu, Syed Saddiq dijadual menyaksikan perlawanan akhir antara Malaysia dan Myanmar malam ini. - Bernama