KUALA LUMPUR - Menteri Pemuda dan Olahraga Indonesia, Imam Nahrawi, memohon maaf atas tindakan provokasi penyokong tuan rumah di Stadium Gelora Delta Sidoarjo selepas Malaysia menewaskan Indonesia dalam aksi separuh akhir Kejohanan Persekutuan Bola Sepak ASEAN (AFF) Bawah 19 Tahun (B19), di Surbaya, Khamis lalu.
Beliau membuat permohonan maaf secara terbuka menerusi entri di Instagramnya dengan memuat naik gambar pertemuan dengan Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, semalam.
"Banyak hal dibicarakan, soal persiapan Sukan Asia 2018, harmoni Indonesia-Malaysia, juga soal tekwan dan pempek (masakan khas) Palembang yang pedas, soal kawasan Sport City Jakabaring, sampai soal keluarga dan karier.
"Soal perlakuan supporter kepada timnas Sepakbola u/19 Malaysia di Piala AFF di Sidoarjo, saya harus mohon maaf atas peristiwa tidak nyaman itu kepada beliau dan seluruh rakyat Malaysia," katanya.
Pada aksi separuh akhir itu, penonton Indonesia menimbulkan kekecohan di stadium apabila Malaysia menewaskan pasukan tuan rumah menerusi penentuan sepakan penalti 3-2 selepas aksi sebenar terikat 1-1.
Akibat tidak berpuas hati dengan kekalahan itu, penyokong tuan rumah melemparkan botol dan pelbagai objek ke arah pemain dan pegawai Malaysia.
Sementara itu, Syed Saddiq dijadual menyaksikan perlawanan akhir antara Malaysia dan Myanmar malam ini. - Bernama
No comments:
Post a Comment