Kedua-dua pasukan bermula dengan permainan corak pantas apabila mereka saling memberi tekanan kepada benteng pertahanan lawan masing-masing dalam usaha mencari gol pembukaan awal. 
The Bos Gaurus mendapat peluang untuk mendapatkan jaringan awal pada minit ke-13 apabila pemain tengahnya, Kenny Pallraj Davaragi membuat hantaran silang di hadapan gol Pahang namun dihalang pemain pertahanan pelawat, Muhammad Safuwan Baharudin. 
Perak terlebih dahulu tersentak apabila anak-anak buah Dollah Salleh berjaya menghasilkan jaringan menerusi penyerang berbisa Pahang, Norshahrul Idlan Talaha yang mudah menolak masuk bola ke dalam gawang selepas mendapat hantaran silang daripada rakan sepasukan, Mohamadou Sumareh pada minit ke-16. 
Tuan rumah bagaimanapun bangkit memperkemaskan rentak permainan mereka dengan mengucar-kacirkan pertahanan kubu lawan sehingga usaha mereka berhasil mendapatkan jaringan penyamaan pada minit ke-25. 
Jaringan tersebut diperolehi menerusi pemain penyerang Perak, Mohd. Nor Hakim Hassan yang merembat kencang bola di dalam kotak penalti sepepas mendapat bola hantaran daripada Kenny untuk menewaskan penjaga gol Pahang, Mohd. Helmi Eliza Elias. 
Perlawanan bertambah rancak selepas kedua-dua pasukan saling melancarkan serangan demi serangan ke gawang lawan namun tiada jaringan gol dapat dihasilkan sehingga wisel penamat babak pertama dibunyikan pengadil perlawanan, Nagor Amir Noor Mohamed. 
Babak kedua perlawanan, Pahang dilihat lebih banyak mengasak kubu pertahanan dalam usaha mendapatkan gol kedua namun beberapa usaha mereka tidak berhasil menterjemahkan jaringan. 
Keputusan seri 1-1 kekal sehingga wisel penamat dibunyikan.