Showing posts with label Suresh Jayaranam. Show all posts
Showing posts with label Suresh Jayaranam. Show all posts

Tuesday, 30 October 2018

Giliran Mat Zan bidas Suresh


KUALA TERENGGANU: Bekas 'orang besi' skuad Kuala Lumpur, Mat Zan Mat Aris, membidas mutu pengadilan perlawanan akhir Piala Malaysia 2018, Suresh Jayamaran yang disifatkan gagal menggalas tugas dengan berkesan.
Malah bekas jurulatih yang membawa Terengganu menjulang Piala Malaysia buat kali pertama pada 2001 turut menyifatkan pengadil itu tidak layak mengadili aksi penting yang berprestij itu.

Mat Zan berkata, kemuncak kesilapan dilakukan pengadil itu apabila 'membenarkan' penjaga gol Perak, Hafizul Hakim Khairul Nizam Jothy berada dalam garisan gol sebelum bola disepak pemain Terengganu FC (TFC) dalam aksi final itu di Shah Alam, Sabtu lalu.
Beliau berkata, tindakan pengadil itu bukan hanya merugikan skuad TFC yang bertungkus-lumus untuk mara ke final, tetapi juga memalukan mutu pengadilan bola sepak negara.
"Pada pandangan saya jika pengadil itu bijak mengendalikan perlawanan, aksi kedua-dua pasukan lebih berkualiti dan menghiburkan semua penyokong kerana final itu menjadi tumpuan seluruh peminat sukan di tanah air.
"Namun apa yang berlaku sebaliknya dan sungguh mendukacitakan apabila banyak keputusan dibuat pengadil itu silap dan boleh dipertikaikan.
"Selain itu terlalu banyak 'advantage' diberikan kepada kedua-dua pasukan termasuk membiarkan aksi keras dan berbahaya menyebabkan pemain dilihat semakin kemaruk untuk melakukan aksi keras.
"Kesannya bukan hanya kepada pasukan, tetapi jurulatih, persatuan negeri dan peminat setia kedua-dua pasukan turut kecewa. Jika saya berada di tempat Irfan Bakti Abu Salim (jurulatih TFC), saya juga kecewa," katanya.
Semalam Sukan NSTP melaporkan penjaga gol skuad The Bos Gaurus itu melakukan kesalahan kerana berada di dalam gol bukannya di atas garisan gol sebelum pemain TFC melakukan sepakan.
Tindakan penjaga gol itu mencetuskan persoalan dalam kalangan banyak pihak mengenai kredibiliti dan mutu pengadil itu yang disifatkan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) adalah pengadil yang terbaik.

Piala Malaysia : Saya dah tanya Suresh

PENJAGA gol Perak, Hafizul Hakim meraikan kemenangan selepas pasukannya menewaskan Terengganu FC dalam penentuan speakan penalti pada final Piala Malaysia di Stadium Shah Alam. - Foto Luqman Hakim Zubir

KUALA LUMPUR: “Saya bukan kata tiru atau apa, tapi saya ikut Jan Oblak, penjaga gol Atletico Madrid, saya nampak dia buat macam itu. Lagipun saya sudah tanya pengadil (mengenai tindakannya berada di dalam gawang ketika sepakan penalti).”
Itu reaksi penjaga gol Perak Hafizul Hakim Khairul Nizam Jothy mengenai tindakannya ketika menyelamatkan sepakan penalti pemain Terengganu FC pada final Piala Malaysia, Sabtu lalu yang menjadi pertikaian pelbagai pihak.
Ketika aksi penentuan sepakan penalti di Stadium Shah Alam itu, Hafizul Hakim dikatakan melakukan kesalahan apabila tidak berada di atas garisan gol sebelum bola disepak pemain Terengganu.
Sebaliknya penjaga gol berusia 25 tahun itu berada di dalam gawang.
Bagaimanapun Hafizul Hakim yang berjaya menyelamatkan dua sepakan penalti pemain Terengganu untuk Perak menang 4-1 selepas aksi sebenar terikat 3-3 berkata, dia hanya mengikut arahan pengadil perlawanan Suresh Jayaranam.
“Sebelum penalti, pengadil (Suresh) cakap cuma kekal di atas garisan gol. Kalau keluar ke depan, kena kad kuning. Saya tanya dia, boleh tak saya berada di dalam gol, dia cakap boleh, jadi saya ikut apa yang saya tengok Oblak buat. Bagi saya, tiada kesalahan kerana saya sudah tanya pengadil terlebih dulu.
“Kebanyakan penalti membabitkan Atletico, Oblak ada buat begitu. Saya hanya ikut dia, ambil sikit-sikit (cara menyelamatkan sepakan penalti),” katanya.
Dalam laporan NSTP semalam, seorang bekas pengadil tempatan berpendapat Suresh melakukan kesilapan kerana tidak menghukum Hafizul Hakim meskipun dia tidak berada di atas garisan gol ketika sepakan dibuat.
Beliau yang enggan identitinya didedahkan berkata, penjaga gol Perak itu sepatutnya menerima kad kuning dan sepakan penalti itu diambil semula.
Hafizul Hakim yang melaporkan diri bersama skuad kebangsaan semalam bagi persediaan menghadapi Piala AFF berkata, dia tetap akan menggunakan cara itu selagi dibenarkan pengadil perlawanan.
“Selagi dibenarkan pengadil, saya akan teruskan. Jika pengadil cakap tak boleh baru tak buat, kalau OK, saya teruskan,” katanya.