KUALA TERENGGANU: Bekas 'orang besi' skuad Kuala Lumpur, Mat Zan Mat Aris, membidas mutu pengadilan perlawanan akhir Piala Malaysia 2018, Suresh Jayamaran yang disifatkan gagal menggalas tugas dengan berkesan.
Malah bekas jurulatih yang membawa Terengganu menjulang Piala Malaysia buat kali pertama pada 2001 turut menyifatkan pengadil itu tidak layak mengadili aksi penting yang berprestij itu.
Mat Zan berkata, kemuncak kesilapan dilakukan pengadil itu apabila 'membenarkan' penjaga gol Perak, Hafizul Hakim Khairul Nizam Jothy berada dalam garisan gol sebelum bola disepak pemain Terengganu FC (TFC) dalam aksi final itu di Shah Alam, Sabtu lalu.
Beliau berkata, tindakan pengadil itu bukan hanya merugikan skuad TFC yang bertungkus-lumus untuk mara ke final, tetapi juga memalukan mutu pengadilan bola sepak negara.
"Pada pandangan saya jika pengadil itu bijak mengendalikan perlawanan, aksi kedua-dua pasukan lebih berkualiti dan menghiburkan semua penyokong kerana final itu menjadi tumpuan seluruh peminat sukan di tanah air.
"Namun apa yang berlaku sebaliknya dan sungguh mendukacitakan apabila banyak keputusan dibuat pengadil itu silap dan boleh dipertikaikan.
"Selain itu terlalu banyak 'advantage' diberikan kepada kedua-dua pasukan termasuk membiarkan aksi keras dan berbahaya menyebabkan pemain dilihat semakin kemaruk untuk melakukan aksi keras.
"Kesannya bukan hanya kepada pasukan, tetapi jurulatih, persatuan negeri dan peminat setia kedua-dua pasukan turut kecewa. Jika saya berada di tempat Irfan Bakti Abu Salim (jurulatih TFC), saya juga kecewa," katanya.
Semalam Sukan NSTP melaporkan penjaga gol skuad The Bos Gaurus itu melakukan kesalahan kerana berada di dalam gol bukannya di atas garisan gol sebelum pemain TFC melakukan sepakan.
Tindakan penjaga gol itu mencetuskan persoalan dalam kalangan banyak pihak mengenai kredibiliti dan mutu pengadil itu yang disifatkan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) adalah pengadil yang terbaik.
No comments:
Post a Comment