GAMBAR fail, pemain Terengganu, Lee Andrew Tuck diasak pemain Perak ketika Perlawanan Akhir Piala Malaysia 2018 Perak menentang Terengganu di Stadium Shah Alam. - Foto Nur Adibah Ahmad Izam
KUALA TERENGGANU: "Saya mohon maaf kepada peminat kerana gagal membawa pulang Piala Malaysia dan tidak dapat membantu pasukan hingga tamat permainan kerana kad merah," kata arkitek Terengganu FC (TFC), Lee Tuck.
Itu reaksi pertama pemain import TFC ini selepas perlawanan akhir di Stadium Shah Alam, Sabtu lalu yang menyaksikan Perak menang 4-1 menerusi sepakan penentuan penalti, selepas terikat 3-3.
Sebelum perlawanan, pemain berdarah kacukan itu adalah nadi kekuatan skuad Penyu kerana keupayaannya sebagai perancang dan juga peledak.
Namun aksi Sabtu lalu yang penuh dengan drama, pemain yang digelar 'Rooney Ganu' itu diperintah keluar padang oleh pengadil kontroversi, Suresh Jayamaran pada minit ke-66.
Tuck menerima kad kuning kedua kerana mengasari pemain Perak sekaligus menyebabkan jentera tengah skuad Penyu tempang untuk meneruskan baki saingan.
Mengimbau detik itu, pemain kelahiran England ini bagaikan tidak percaya dengan keputusan pengadil melayangkan kad merah kepadanya, namun terpaksa akur kerana keputusan berkenaan tidak boleh diubah.
"Sukar untuk nyatakan sama ada saya berpuas hati atau tidak pada perlawanan akhir itu lebih-lebih lagi kami tidak menang selepas mendahului perlawanan pada babak pertama.
"Perlawanan itu dah jadi macam sarkas, dengan aksi pergaduhan dan terjahan liar daripada kedua-dua pasukan. Saya bagai tidak percaya pengadil gagal mengawal permainan dengan baik perlawanan itu.
"Malah banyak keputusan dibuat tidak tepat kepada kedua-dua pasukan, ia di luar jangka dan sukar dijangka sama sekali. Akibatnya pemain kedua-dua pasukan bagai mendapat 'lesen besar'.
"Tetapi itulah bola sepak, saya terima kekalahan ini dan tahniah kepada Perak.
"Kepada peminat setia skuad TFC, sokongan anda memang kelas pertama. Saya sudah memberikan segalanya untuk pasukan bermula awal musim, malah menyasarkan satu piala bersama TFC, namun ia tidak menjadi kenyataan," katanya.
No comments:
Post a Comment