Ketibaan piala dan beberapa pegawai pengurusan pasukan itu disambut Presiden Persatuan Bolasepak Perak (Pafa), Hasnul Zulkarnain Abdul Munaim pada pukul 1.30 tengah hari. 
Seorang penyokong Perak, Mohd. Fairos Mohd. Tajudin, 36, meluahkan perasaan terujanya apabila dapat meraikan ketibaan Piala Malaysia yang kali terakhir dilihatnya pada 17 tahun lalu ketika dia masih remaja. 
“Saya kempunan untuk ke Stadium Shah Alam malam tadi kerana kehabisan tiket. Saya telah merancang untuk ke sana pada awalnya namun terpaksa dibatalkan. 
“Jadi hari ini, saya datang untuk menyambut dan melihat sendiri piala berprestij ini dengan lebih dekat bagi menghargai semangat juang dan tidak berputus asa yang ditunjukkan pemain dalam permainan tersebut,” katanya ketika ditemui di pekarangan stadium di sini hari ini. 
Seorang lagi penyokong, Mohd. Rozi Zawawi, 48, berkata, dia dan tiga ahli keluarga mengambil kesempatan masa terluang untuk meraikan kegembiraan para penyokong dengan menyambut piala tersebut tiba di Ipoh. 
“Sangat menakjubkan apa yang ditunjukkan para pemain di atas padang malam tadi.
“Dua kali bangkit sebelum menang dengan penentuan sepakan penalti itu memang suatu drama yang sangat mendebarkan,” katanya. 
Sementara itu, Hasnul Zulkarnain berkata, pihaknya mendedikasikan kemenangan menjulang Piala Malaysia 2018 ini kepada Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah yang akan menyambut Hari Keputeraan baginda pada 2 November ini. 
“Tiada apa yang dapat digambarkan dengan kata-kata selepas Perak mendakap Piala Malaysia itu dan ini kemenangan untuk semua rakyat Perak. 
“Pafa sedang merancang untuk membawa piala ini ke daerah-daerah selepas memilih tarikh yang sesuai serta mendapat perkenan Sultan Perak,” katanya. - K! ONLINE