BARCELONA – Bintang penyerang Barcelona, Lionel Messi mungkin terlepas perlawanan separuh akhir kedua Copa del Rey menentang Valencia hari ini kerana menjalani pemeriksaan buah pinggang, semalam.
Barcelona mengesahkan Pemain Terbaik Dunia itu menjalani ujian lanjutan ekoran masalah buah pinggang yang dihadapi sebelum ini, selepas menjalani ujian pertama pada Disember lalu.
Pemain Argentina itu sebelum ini terlepas kejohanan Piala Dunia Kelab akibat masalah kolik (rasa ketidakselesaan perut yang biasanya disebabkan oleh batu karang).
Media di Sepanyol semalam melaporkan Messi mungkin terpaksa melakukan pembedahan kecil untuk membetulkan masalah tersebut, yang didakwa telah berlarutan sejak beberapa minggu lalu walaupun pemain berusia 28 tahun itu hanya terlepas satu perlawanan pada 2016 setakat ini. Barcelona dalam satu kenyataan berkata, ujian perubatan mengambil masa selama dua hari minggu ini dan menjangkakan penyerang itu akan kembali berlatih bersama pasukan pada Khamis.
“Messi akan dihantar untuk menjalani beberapa ujian pada Selasa dan Rabu untuk menilai perkembangan masalah buah pinggang yang dialaminya pada Disember lalu. “Pemain itu akan kembali berlatih bersama kesebelasan utama pasukan pada Khamis ini,” menurut kenyataan Barcelona yang disiarkan dalam laman web rasmi mereka semalam. Dalam perlawanan separuh akhir pertama Copa del Rey pada 4 Februari lalu, Barcelona membelasah Valencia 7-0 di Stadium Mestalla. Mereka boleh dianggap sudah sebelah kaki menjejak ke final. – AGENSI
No comments:
Post a Comment