Showing posts with label Felda Utd. Show all posts
Showing posts with label Felda Utd. Show all posts

Friday, 26 April 2019

MSL :Felda United & Melaka United terikat 1-1


MARAN - Felda United berkongsi satu mata dengan Melaka United selepas kedua-dua pasukan terikat 1-1 pada aksi Liga Super di Stadium Tun Abdul Razak, Jengka malam ini.
Kedua-dua pasukan saling berbalas serangan pada 15 minit pertama namun tidak ada sebarang gol berjaya dihasilkan
Pelawat bagaimanapun mengejutkan tuan rumah apabila Patrick Reichelt meledakkan gol pertama pada minit ke-14.
Darko Markovic hampir meletakkan pelawat selesa di hadapan pada minit ke-27 namun rembatannya singgah di palang gol tuan rumah.
Penyerang tuan rumah, S. Chanturu gagal memanfaatkan peluang menyamakan kedudukan pada minit ke-39 apabila tendangannya sedikit tersasar di sebelah kanan pintu gol pelawat.
Bersambung babak kedua, Felda United menggandakan asakan namun nasib belum menyebelahi mereka apabila tandukan Abdul Azim Rahim pada minit ke-56 ditepis keluar oleh penjaga gol pelawat, Khairul Fahmi Che Mat. 
Tindakan pemain pertahanan pelawat mengasari Chanturu membawa padah apabila tuan rumah dihadiahkan sepakan penalti pada minit ke-61 dan Kei Ikeda dengan mudah menewaskan Khairul Fahmi untuk menyamakan kedudukan 1-1.
Melaka United berpeluang menambah jaringan pada minit ke-86 namun aksi mantap penjaga gol tuan rumah, Norazlan Razali berjaya menepis keluar tandukan padu daripada Reichelt. 
Kedudukan 1-1 kekal hingga tamat perlawanan dan kedua-dua pasukan terpaksa berpuas hati dengan berkongsi satu mata. - K! ONLINE

Thursday, 19 July 2018

Felda United juara Liga Premier 2018


PASUKAN Felda United mengesahkan kejuaraan Liga Premier 2018 menjadi milik mereka selepas membenam Sarawak 3-1 di Stadium Negeri, Petra Jaya di Kuching semalam.
Kejayaan tersebut membolehkan skuad bimbingan B. Sathianathan itu mengumpul 41 mata daripada 18 perlawanan untuk dinobatkan sebagai juara sekali gus melangkah ke ­saingan Liga Super musim depan.
Penyerang import, Gilberto Fortunato muncul wira skuad The Fighters apabila menjaringkan dua gol pada minit kelima dan ke-66.
Rakan pemain import, Thiago Augusto Fernandes turut mencipta nama sebagai penjaring gol untuk Felda United pada minit ke-39, manakala gol sagu hati skuad Bujang Senang pula dijaringkan oleh tonggak import, Mateo Roskam pada minit ke-44.
Kemenangan itu bermakna skuad The Fighters menamatkan penantian mereka untuk beraksi semula dalam Liga Super 2019 selepas menerima tamparan hebat apabila disahkan tidak layak beraksi dalam Liga Super musim ini gara-gara kegagalan mendapatkan lesen daripada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) sebelum ini.
Mengulas mengenai aksi menentang skuad kendalian Ian Andrew Gillan, Sathianathan memuji persembahan cemerlang yang ditampilkan oleh anak-anak buahnya sepanjang 90 minit perlawanan.
Katanya, para pemainnya telah bertungkus lumus dan berlatih bersungguh-sungguh untuk sepanjang musim ini dalam merealisasikan impian untuk merangkul mahkota Liga Premier 2018.
“Tahniah saya ucapkan kepada para pemain yang membawa kepada kejuaraan Liga Premier 2018. Penat lelah mereka sepanjang musim ini berhasil menerusi kejayaan manis ini.
“Pasukan bimbingan saya begitu tenang malah berjaya mencipta kemenangan ini meskipun kita ada dua lagi baki perlawanan selepas ini. Kita tidak perlu lagi tunggu untuk ditabalkan sebagai juara Liga Premier 2018,” katanya kepada pemberita sejurus tamat perlawanan semalam.
Sementara itu, penolong ­ketua jurulatih Sarawak, Pengiran Bala tetap berpuas hati ­dengan prestasi para pemain skuad Bujang Senang meskipun tewas di hadapan penyokong sendiri.
“Kita akur dengan kekuatan pasukan lawan (Felda United) dan saya ucapkan tahniah kepada mereka selepas sah dinobatkan juara Liga Premier 2018,” katanya.

Saturday, 21 April 2018

Piala FA : Tok Gajah mengamuk di Larkin

CRUZ (dua dari kanan) muncul wira apabila menjaringkan hatrik ketika membantu Pahang menewaskan JDT 3-0 pada suku akhir kedua Piala FA di Larkin malam tadi.

REKOD bersih Johor Darul Ta’zim (JDT)  di Stadium Tan Sri Dato’ Haji Hassan Yunos, Larkin iaitu tidak pernah kalah selama tiga tahun akhirnya lebur di tangan Pahang selepas wakil Pantai Timur itu menewaskan Harimau Selatan 3-0 di gelanggang keramat mereka pada aksi suku akhir kedua Piala FA malam tadi.

Skuad Tok Gajah melakar kejutan apabila menjadi pasukan pertama mengalahkan juara empat kali berturut-turut Liga Super itu yang mana kali terakhir skuad Harimau Selatan tewas di laman sendiri kepada Felda United pada 28 November 2015.

Penyerang kelahiran Brazil, Patrick Cruz muncul wira buat pasukan bimbingan Dollah Salleh apabila menjadi watak utama kejayaan membanggakan tersebut dengan mencipta hatrik menewaskan JDT.

Dalam aksi itu, Cruz tidak mengambil masa lama untuk membuka tirai jaringan pada minit kesembilan selepas memanfaatkan hantaran jauh rakan sepasukan sebelum melepaskan rembatan leret menewaskan penjaga gol Harimau Selatan, Farizal Marlias.

Pemain berusia 25 tahun itu terus menjadi duri dalam daging buat JDT apabila menjaringkan gol kedua skuad Tok Gajah pada minit ke-58 dan melengkapkan kemenangan Pahang menerusi gol ketiga pada minit ke-76.

Pahang yang seri tanpa jaringan menentang JDT pada aksi pertama akan menentang Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP FC) dalam aksi separuh akhir selepas kelab itu menyingkirkan pasukan pilihan, Felda United dengan memiliki kelebihan jaringan di tempat lawan selepas terikat 2-2.

Pada aksi timbal balik kedua di Stadium Tun Abdul Razak, Jengka itu, PKNP FC mengalahkan skuad kendalian B. Sathianathan 2-1 menerusi dua jaringan Muhd. Shahrel Fikri Md. Fauzi pada minit ke-15 dan 43, manakala gol tunggal Felda dijaringkan oleh Wan Zack Haikal Wan Nor pada minit ke-26.

Saturday, 8 July 2017

Keputusan Piala Malaysia : PERAK,PKNP teratas dlm grup selapas 2 perlawanan | MU benam Red Warriors 3-0



PKNS FC gagal memanfaatkan aksi di Stadium Shah Alam,  apabila tewas 1-2 kepada Felda United dalam aksi Kumpulan B.



MELAKA United mula meraih keputusan positif pada aksi kedua Kumpulan C Piala Malaysia 2017 apabila menundukkan Kelantan 3-0 di Stadium Hang Jebat malam tadi, sekali gus menamatkan kemarau kemenangan di laman sendiri sejak Februari lalu.
 



Sunday, 11 September 2016

Keputusan MSL : Biar tumpas,Felda kekal naib juara.

PEMAIN Pahang, Muhammad Ashar Al Aafiz (kanan) mengawal bola ketika cuba diasak oleh pemain Selangor, R. Gopinathan dalam perlawanan Liga Super di Stadium Shah Alam, Shah Alam malam ini. - UTUSAN/MOHD. SHAHARANI SAIBI 

SELANGOR 0-1 PAHANG

KEDAH 3-1 PERAK

PENANG 1-1 PDRM

T-TEAM 3-2 FELDA UTD

SARAWAK 1-1 KELANTAN

JDT 3-0 TERENGGANU

  1. JOHOR DT - 52
  2. FELDA UNITED - 42
  3. KEDAH - 34
  4. SELANGOR - 28
  5. T-TEAM - 26
  6. KELANTAN - 25
  7. PERAK - 24
  8. PDRM - 21
  9. SARAWAK - 20
  10. PENANG -19
  11. TERENGGANU - 19
  12. PAHANG - 17






Sunday, 27 September 2015

Pahang rebah diamuk Harimau Kumbang

PAHANG diamuk gelora di utara tanah air.
Juara bertahan Piala Malaysia itu dibelasah 4-1 oleh Pulau Pinang pada aksi peringkat Kumpulan D kempen Piala Malaysia 2015 yang berlangsung di Stadium Bandaraya, Pulau Pinang malam tadi.
Impian pasukan yang mendapat jolokan Harimau Kumbang itu untuk meraih kemenangan di gelanggang sendiri tercapai.
Skuad Harimau Kumbang sememangnya layak menang apabila tampil dengan rentak cemerlang sebaik wisel permulaan dibunyikan oleh pengadil.


Walaupun berdepan tekanan daripada pasukan pelawat di awal permainan, ia tidak menjejaskan rentak skuad kendalian Jacksen Ferreira Tiago itu yang terus bekerja keras untuk mematikan langkah Tok Gajah.
Gol pertama Pulau Pinang hadir pada minit ke-38 menerusi jaringan Mohd. Failee Ghazali.
Bagaimanapun, pada minit ke-41, Pahang pantas menyamakan kedudukan hasil jaringan Dickson Nwakaeme.
Jaringan tersebut tidak mematahkan semangat pemain Pulau Pinang yang semakin rancak melancarkan serangan, dan hasilnya mereka memperoleh gol kedua, sekali lagi menerusi jaringan Mohd. Failee pada minit ke-47 disusuli jaringan ketiga oleh Mohd. Azinee Taib pada minit ke-81.
Malam gemilang Harimau Kumbang itu berterusan apabila mereka memperoleh gol keempat menerusi Alberto Goncalves pada minit ke-84.
Pada aksi Kumpulan A yang berlangsung di Stadium Jalan Besar, Singapura, Lions XII menang tipis 3-2 ke atas Terengganu.
Pada perlawanan tersebut, Terengganu mendahului perlawanan menerusi jaringan Paulo Rangel seawal minit keempat sebelum Sahil Suhaimi menyamakan kedudukan pada minit ke-35.
Rangel sekali lagi menggegar gawang Lions XII selepas menjaringkan gol kedua Terengganu pada minit ke-43 namun kedudukan tersebut gagal dipertahankan apabila tuan rumah menambah dua gol pada separuh masa kedua menerusi jaringan Safuwan Baharuddin pada minit ke-54 dan 89.
Di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu, hajat Kelantan untuk meraih tiga mata penuh tidak kesampaian apabila tewas 1-3 kepada T-Team.
Lebih manis, T-Team berjaya meraih kemenangan sulung selepas tumpas dalam dua perlawanan pertama ketika menentang Felda United dan Selangor.
Skuad kendalian Tomislav Steinbruckner bermula garang apabila Muhamad Zulhanizam membuka jaringan pada minit ke-15 diikuti gol keduanya pada minit ke-21.
Tomislav Busic melengkap malam gemilang T-Team apabila menjaringkan gol ketika pada minit ke-49 bagi membolehkan pasukannya meraih kemenangan mutlak 3-1.
Gol sagu hati Kelantan pada perlawanan tersebut diperoleh menerusi jaringan Gilmar Jose Da Silva Filho pada minit ke-86.
Pada perlawanan lain, Selangor terikat seri tanpa jaringan dengan Felda United di Stadium Shah Alam manakala Perak rebah di Stadium Perak, Ipoh apabila tewas 2-0 kepada Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Sunday, 13 September 2015

Pahang dipaksa kerja 
keras, Selangor tumbang

SHAH ALAM – Juara bertahan Pahang dipaksa bekerja keras sebelum mengutip tiga mata penuh melalui kemenangan tipis menewaskan PDRM 4-3 dalam saingan pembukaan Piala Malaysia manakala misi Selangor untuk muncul juara buat kali ke-33 terencat apabila kalah kepada Kelantan semalam.

Azamuddin Akil mencipta hattrick pertamanya musim ini pada minit kedua, 34 dan 64 ketika Pahang berhempas pulas mencari kemenangan di Stadium Darul Makmur dan memerlukan jaringan penyerang berbisa Dickson Nwakaeme pada minit ke-79 untuk meraih kemenangan dalam Kumpulan D.

PDRM pula menjadikan penyokong tuan rumah resah setelah mengikat kedudukan 3-3 pada minit ke-74 menerusi Ali Ashfaq setelah Dramane Traore dan Jaime Celestino Braganca menjaringkan gol pada minit ke-11 dan 70.
Di Stadium Shah Alam, Selangor gagal memanfaatkan peluang beraksi di depan penyokong sendiri apabila tewas 0-3 kepada Kelantan dalam perlawanan pertama Kumpulan C.

 Pemain Kelantan, Iwuji Agustine meraikan jaringan kedua buat skuad The Red Warriors pada aksi Piala Malaysia di Stadium Shah Alam, malam tadi.Kelantan berjaya menumpaskan Selangor dengan keputusan 3-0.

Gilmar Jose Da Silva muncul wira skuad The Red Warriors selepas berjaya menghasilkan dua gol masing-masing pada minit ke-27 dan ke-53 manakala satu lagi jari­ngan dihasilkan oleh Austin Amutu (minit ke-49) bagi membolehkan Kelantan membawa pulang tiga mata penuh.

Gol pertama Da Silva berjaya dihasilkan selepas dia menanduk ma­suk hantaran kapten Mohd. Badhri Radzi yang berpunca daripada sepakan penjuru Mohd. Fitri Omar manakala jaringan keduanya dija­ringkan selepas berlaku situasi kelam-kabut dalam kotak penalti Selangor.

Jaringan Amutu dilakukan selepas menerima hantaran daripada Badhri yang melakukan gerakan solo dari tengah padang sebelum menewaskan penjaga gol Selangor, Norazlan Razali.

Sementara itu, juara Piala FA, Lions XII sekadar memungut satu mata apabila terikat 1-1 dengan juara Liga Perdana, Kedah dalam aksi Kumpulan A yang berlangsung di Stadium Jalan Besar.

Pasukan pelawat terlebih dahulu membuka jaringan pada minit ke-17 menerusi pemain dari Brazil, Sandro De Silva sebelum wakil Singapura itu menyamakan kedudukan hasil ledakan Shahdan Sulaiman, seminit selepas itu.

Di Stadium Majlis Perbandaran Selayang, Felda United membelasah T-Team 3-0 hasil dua gol Makeche Ndumba pada minit ke-35 dan ke-70 dan penalti Indra Putra Mahayuddin pada minit ke-38.

Terengganu juga gagal mengutip mata penuh walaupun menentang pasukan Liga Perdana Johor Darul Ta’zim (JDT) II di di laman sendiri apabila seri tanpa jaringan di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin.

Pulau Pinang muncul pasukan kedua yang dibelasah dalam aksi pembukaan Piala Malaysia apabila PKNS mengamuk di Stadium Bandaraya untuk menang 3-0 menerusi jaringan Mohd. Nazrin Shamsulbahri pada minit ke-16, Gabriel Miguel Guerra (minit ke-18) dan Nizam Abu Bakar (minit ke-56) dalam perlawanan antara dua pasukan dari Liga Perdana.

Di Stadium Negeri, semangat juang Sarawak akhirnya membuahkan hasil pada masa kecederaan babak kedua apabila tandukan pemain sayap Joseph Kalang Tie memastikan tuan rumah mengutip tiga mata penuh apabila menum­paskan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) 1-0.

 Penyerang pasukan Sarawak,Joseph Kalang Tie dikawal rapi oleh pemain ATM,Mohd Fazly Alias pada aksi Piala Malaysia 2015 di Stadium Negeri Petrajaya Kuching.
Sarawak menang dengan jaringan 1 - 0 , hasil gol cantik Joseph kalang Tie pada minit ke 87 perlawanan.

pic : dunia sukan fb 

Saturday, 15 August 2015

Keputusan Liga Super 15/085/2015 (sabtu)

Kelantan 4-1 Johor DT
ATM 1-1 Sarawak
Perak 1-1 Pahang
Felda United 1-0 Terengganu
PDRM 1-1 Sime Darby

Lions XII 1-1 Selangor



Sunday, 12 October 2014

Selangor, Felda bakal terima padah [utusan]


PENYOKONG Selangor membaling suar ke arah pasukan keselamatan selepas perlawanan suku akhir kedua Piala Malaysia yang berkesudahan Selangor tersingkir setelah sekadar seri 3-3 menentang Felda United di Stadium Mini Temerloh, Temerloh, Pahang, semalam. - MINGGUAN/MAHATHIR ALI

KUALA LUMPUR - Bukan sekadar Selangor, namun Felda United juga mungkin terpaksa berdepan tindakan daripada Jawatankuasa Tatatertib Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) ekoran insiden pembakaran suar dan merosakkan tempat duduk penonton semasa aksi suku akhir kedua Piala Malaysia antara kedua-dua pasukan di Stadium Mini Temerloh, Jumaat lalu.

Jelas Setiausaha Agung FAM, Datuk Hamidin Mohd. Amin, Felda tidak boleh terlepas daripada apa yang berlaku memandangkan mereka adalah tuan rumah dan perlu memastikan keselamatan berada di tahap maksimum agar perkara berkenaan tidak berlaku.

Namun, segalanya bergantung kepada laporan yang akan disiapkan oleh komisioner perlawanan terhadap apa situasi sebenar yang berlaku di Stadium Mini Temerloh sebelum memanggil pihak yang terlibat.
"Seperti biasa, kami akan meneliti laporan pegawai dan komisioner perlawanan sebelum diserahkan ke Jawatankuasa Tatatertib untuk diteliti bagi mengenal pasti siapa yang perlu bertanggungjawab.
"Ada dua pihak yang boleh dikenakan tindakan sama ada tuan rumah iaitu Felda United atau Selangor selepas para penyokongnya yang difahamkan terbabit dalam insiden berkenaan (membakar dan membaling suar).
"Tanggungjawab menyediakan gelanggang pertandingan termasuk soal keselamatan adalah tertakluk kepada Felda dan kami akan meneliti sama ada mereka mematuhi SOP (Prosedur Operasi Standard) yang ditetapkan dan jika ada sebarang kelemahan, mereka juga boleh dikenakan tindakan.

"Manakala bagi penyokong yang terbabit dengan insiden pembakaran suar, sudah cukup melalui beberapa orang sahaja (pengenalan melalui pakaian) untuk kita kenal pasti mereka adalah penyokong pasukan mana," katanya ketika dihubungi, semalam.

Perlawanan antara Felda dan Selangor terpaksa diberhentikan seketika pada minit ke-84 selepas jaringan penyamaan Indra Putra Mahayuddin ekoran tindakan kumpulan penyokong berkenaan membakar dan membaling suar di belakang pintu gol Felda.
Walaupun pihak bomba cuba datang memadam suar yang dilemparkan, selain kehadiran anggota keselamatan untuk mengawal keadaan, namun kumpulan penyokong terbabit tetap berdegil sebaliknya berterusan membaling suar ke arah mereka.

Di samping itu, difahamkan ada beberapa penyokong begitu berani cuba masuk ke dalam padang, tetapi berjaya dihalang oleh anggota keselamatan selain terdapat beberapa kerusi penonton yang dicabut dan dicampak berhampiran trek perlawanan.
Insiden terbabit bukanlah yang pertama kerana pada aksi suku akhir pada 3 Oktober lalu, kumpulan penyokong berkenaan turut melakukan perkara yang sama, lima minit sebelum perlawanan tamat sebaik sahaja Felda mendapat jaringan keempat.

Menyentuh isu berlainan, Hamidin menegaskan pasukan Kedah yang berjaya melayakkan diri ke separuh akhir Piala Malaysia dijangkakan turut berdepan tindakan selepas laporan awal menyatakan terdapat sebilangan para penyokong masuk ke dalam padang semasa permainan berlangsung.

"Berdasarkan maklumat yang saya terima, ada sedikit kelemahan dalam isu keselamatan di Stadium Darul Aman apabila ada segelintir penyokong yang terlepas masuk ke dalam padang untuk cuba meraikan jaringan dengan pemain.
"Perkara ini bukan sesuatu yang baik kerana ia menyentuh tahap keselamatan para pemain serta pegawai pasukan sewaktu perlawanan berlangsung dan FAM akan menilai laporan mengenai perlawanan ini selain Felda-Selangor," katanya.

Friday, 29 August 2014

JDT, Felda, Pahang, Kelantan ke suku akhir Piala Malaysia

Sumber Metro On9

Kuala Lumpur: Pasukan Johor Darul Ta’zim (JDT), Felda United, Pahang dan Kelantan mengesahkan tiket ke saingan suku akhir Piala Malaysia 2014 selepas perlawanan kelima peringkat kumpulan, malam ini.
JDT mengungguli carta Kumpulan C dengan 13 mata selepas menutup peluang Angkatan Tentera Malaysia (ATM) ke suku akhir dengan kemenangan tipis 1-0 di Stadium Majlis Perbandaran Selayang.
Penyerang import dari Argentina Luciano Figueroa membantu melakarkan kemenangan keempat JDT menerusi hasil jaringan tunggal pada minit ke-18. 

ATM pula sekadar menduduki tangga ketiga kumpulan dengan lima mata manakala Pulau Pinang menghuni tangga tercorot dengan satu mata.
Dalam saingan Kumpulan A pula menyaksikan naib juara Piala FA 2014, Felda United mengalahkan Johor Darul Ta’zim II (JDT II) 3-1 di Stadium Majlis Perbandaran Pasir Gudang.
Dua gol pertama Felda United pada separuh masa pertama dijaringkan oleh pemain import, Zah Rahan Krangar dari Liberia pada minit kelima dan Ahmad Syamim Yahya pada minit ke-16. 
Bersambung babak kedua, Felda United menjaringkan ketiga melalui Mohd Raimi Mohd Nor (49’) manakala JDT II memperoleh gol tunggal menerusi pemain importnya, Nicholas Delmonte pada minit ke-86. 

Kemenangan ketiga Felda United itu membolehkan mereka menduduki tangga teratas dengan 10 mata dengan baki satu perlawanan. 

Meskipun Pahang tewas 2-1 kepada pasukan kelab dari Singapura Lions XII di Stadium Darul Makmur, Kuantan namun mereka tetap mengesahkan slot kedua kumpulan ke peringkat suku akhir dengan sembilan mata. 

Lions XII hanya mengumpul lima mata manakala JDT II ketinggalan satu mata di tangga tercorot kumpulan. 

Skuad Tok Gajah bermula cemerlang dengan jaringan pembukaan pada separuh masa pertama oleh pemain import dari Nigeria, Dickson Nwakaeme pada minit ke-13 namun Lions XII bangkit dengan dua gol melalui jaringan Sufian Anuar (52’) dan tandukan Madhu Mohana (84’). 


Sementara itu, Kelantan berada di tangga kedua dalam Kumpulan C dengan sembilan mata selepas mencatat kemenangan 3-1 ke atas Pulau Pinang di Stadium Bandaraya, Pulau Pinang. 

'The Red Warriors' meraih gol pertama menerusi Wan Zaharulnizam Zakaria pada minit ke-35 diikuti Mohd Khairul Izuan Rosli (60') dan Francis Forkey Doe pada minit ke-83. 

Gol tunggal Pulau Pinang dijaringkan oleh pemain import dari Brazil, Luiz Ricardo Lino Dos Santos pada minit ke-48. - Bernama