Sunday, 13 September 2015

Pahang dipaksa kerja 
keras, Selangor tumbang

SHAH ALAM – Juara bertahan Pahang dipaksa bekerja keras sebelum mengutip tiga mata penuh melalui kemenangan tipis menewaskan PDRM 4-3 dalam saingan pembukaan Piala Malaysia manakala misi Selangor untuk muncul juara buat kali ke-33 terencat apabila kalah kepada Kelantan semalam.

Azamuddin Akil mencipta hattrick pertamanya musim ini pada minit kedua, 34 dan 64 ketika Pahang berhempas pulas mencari kemenangan di Stadium Darul Makmur dan memerlukan jaringan penyerang berbisa Dickson Nwakaeme pada minit ke-79 untuk meraih kemenangan dalam Kumpulan D.

PDRM pula menjadikan penyokong tuan rumah resah setelah mengikat kedudukan 3-3 pada minit ke-74 menerusi Ali Ashfaq setelah Dramane Traore dan Jaime Celestino Braganca menjaringkan gol pada minit ke-11 dan 70.
Di Stadium Shah Alam, Selangor gagal memanfaatkan peluang beraksi di depan penyokong sendiri apabila tewas 0-3 kepada Kelantan dalam perlawanan pertama Kumpulan C.

 Pemain Kelantan, Iwuji Agustine meraikan jaringan kedua buat skuad The Red Warriors pada aksi Piala Malaysia di Stadium Shah Alam, malam tadi.Kelantan berjaya menumpaskan Selangor dengan keputusan 3-0.

Gilmar Jose Da Silva muncul wira skuad The Red Warriors selepas berjaya menghasilkan dua gol masing-masing pada minit ke-27 dan ke-53 manakala satu lagi jari­ngan dihasilkan oleh Austin Amutu (minit ke-49) bagi membolehkan Kelantan membawa pulang tiga mata penuh.

Gol pertama Da Silva berjaya dihasilkan selepas dia menanduk ma­suk hantaran kapten Mohd. Badhri Radzi yang berpunca daripada sepakan penjuru Mohd. Fitri Omar manakala jaringan keduanya dija­ringkan selepas berlaku situasi kelam-kabut dalam kotak penalti Selangor.

Jaringan Amutu dilakukan selepas menerima hantaran daripada Badhri yang melakukan gerakan solo dari tengah padang sebelum menewaskan penjaga gol Selangor, Norazlan Razali.

Sementara itu, juara Piala FA, Lions XII sekadar memungut satu mata apabila terikat 1-1 dengan juara Liga Perdana, Kedah dalam aksi Kumpulan A yang berlangsung di Stadium Jalan Besar.

Pasukan pelawat terlebih dahulu membuka jaringan pada minit ke-17 menerusi pemain dari Brazil, Sandro De Silva sebelum wakil Singapura itu menyamakan kedudukan hasil ledakan Shahdan Sulaiman, seminit selepas itu.

Di Stadium Majlis Perbandaran Selayang, Felda United membelasah T-Team 3-0 hasil dua gol Makeche Ndumba pada minit ke-35 dan ke-70 dan penalti Indra Putra Mahayuddin pada minit ke-38.

Terengganu juga gagal mengutip mata penuh walaupun menentang pasukan Liga Perdana Johor Darul Ta’zim (JDT) II di di laman sendiri apabila seri tanpa jaringan di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin.

Pulau Pinang muncul pasukan kedua yang dibelasah dalam aksi pembukaan Piala Malaysia apabila PKNS mengamuk di Stadium Bandaraya untuk menang 3-0 menerusi jaringan Mohd. Nazrin Shamsulbahri pada minit ke-16, Gabriel Miguel Guerra (minit ke-18) dan Nizam Abu Bakar (minit ke-56) dalam perlawanan antara dua pasukan dari Liga Perdana.

Di Stadium Negeri, semangat juang Sarawak akhirnya membuahkan hasil pada masa kecederaan babak kedua apabila tandukan pemain sayap Joseph Kalang Tie memastikan tuan rumah mengutip tiga mata penuh apabila menum­paskan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) 1-0.

 Penyerang pasukan Sarawak,Joseph Kalang Tie dikawal rapi oleh pemain ATM,Mohd Fazly Alias pada aksi Piala Malaysia 2015 di Stadium Negeri Petrajaya Kuching.
Sarawak menang dengan jaringan 1 - 0 , hasil gol cantik Joseph kalang Tie pada minit ke 87 perlawanan.

pic : dunia sukan fb 

No comments:

Post a Comment