Saturday, 19 September 2015

Son mampu galas misi Spurs

LONDON – Pengurus Tottenham Hotspurs, Mauricio Pochettino percaya pemain gantian, Son Heung-min mampu menggalas tanggungjawab sebagai penyerang tengah dengan baik menjelang pertemuan menentang Crystal Palace bagi ­sai­ngan­ keenam Liga Perdana England malam ini.
Pochettino menegaskan keyakinannya itu berdasarkan prestasi yang berjaya meledak dua gol ketika membantu Spurs menewaskan Qarabag FK dalam aksi perlawanan pertama kempen Liga Europa pada Khamis lalu.
Menurut Pochettino, Son memiliki keupayaan untuk menggantikan pe­nyerang, Harry Kane yang pada ketika ini masih bergelut memulihkan pres­tasi dan membantu pasukan itu memungut tiga mata penuh dalam setiap aksi Liga Perdana England.
“Son berjaya meledakkan dua gol dalam tempoh satu jam. Saya sa­ngat gembira melihat prestasi yang ditunjukkan Son. Dia cepat mempamerkan keserasian dengan corak permainan Spurs.

 “Saya sudah menjelaskan bahawa Son sebenarnya seorang pemain yang sangat baik dan boleh beraksi di posisi berlainan. Bagaimanapun, saya rasa perlawanan menentang Crystal Palace bulan sesuatu yang mudah dan kami perlu berhati-hati,” kata Pochettino.

Dalam perkembangan sama, pe­ngendali kelahiran Argentina itu turut memba­yangkan Spurs mungkin memberi tugasan kepada pemain tengah, Dele Alli untuk memperkuatkan setiap posisi dalam ke­sebelasan utama pasukan tersebut.
“Saya puji persembahan Alli kerana walaupun masih muda, dia boleh mencipta peluang untuk rakan pasukan menjaringkan gol. Kamu boleh lihat betapa cemerlang persembahannya pada aksi menentang Qarabag FK,” ujar Pochettino. – Agensi

No comments:

Post a Comment