Komen-komen pembaca terhadap berita kekalahan 10-0 skuad negara di Stadium Mohammed Bin Zayed itu, yang disiarkan di akaun Facebook Utusan Malaysia Online jelas membayangkan bahawa peminat tidak dapat mene­rima kekalahan dengan jumlah gol yang begitu besar.

Kebanyakan mereka mengirimkan komen sinis terhadap pasukan kebangsaan, pemain, jurulatih serta Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), manakala sebahagian lagi menunjukkan kemarahan me­lampau kerana terlalu kecewa dimalukan dengan aksi hambar skuad Harimau Malaya.

Malah, sedutan rakaman perla­wanan itu yang menjadi viral di la­man sosial, telah disunting de­ngan diselitkan adegan daripada filem klasik Ibu Mertuaku, yang memaparkan Allahyarham Tan Sri P. Ramlee mencucuk matanya hingga buta untuk menggambarkan betapa malu dan tidak sanggupnya orang yang membuat suntingan itu terhadap kekalahan berkenaan.

Komen paling pedas di dalam akaun Facebook Utusan Online dilontarkan oleh pembaca yang menggunakan nama Izam Ismail, yang berkata: “Maruah bola sepak negara di tahap paling hina... lebih baik tak ada team bola sepak daripada terus memalukan negara...bubarkan sahaja.”

“Selagi prestasi pasukan se­perti itu lebih baik tak usah hantarlah ke mana-mana pertandingan luar. Memalukan. Tunggu seribu tahun lagilah,” kata pembaca yang menggunakan nama Ratza Zydy.

Pembaca yang lain pula ­meng­anggap pemain juga harus dipersalahkan, bukan hanya Dollah Salleh.

“Kalau jurulatih bagus sekali pun tapi kalau semua pemain tak ada kualiti tak ada guna...pemain Malaysia hanya jagoan untuk Liga M sahaja,” kata Saharudin Ham­zah.

Khairusy Syakirin pula mencadangkan jurulatih terbaik diambil di samping mengecam corak permainan skuad negara.
“Sepatutnye jurulatih menco­rak kn permainan. Ini x co­rak­nye ttp same long ball... org malaysia pendek...org arab diaorg tinggi.... ubahlh game.... belanjalh besar si­kit untk cari coach terbaik. Gilap bakat baru,” katanya.

Seorang lagi pembaca Hairi Nawi berkata: “Inilah hasil pembangunan bola sepak Malaysia... bukan sekali dua, dah berkali-kali kalah sahaja yang banyak,” manakala Al Mochsin berkata: “Ini bukan harimau tapi kucing.”