LONDON – Pengurus Manchester City, Manuel Pellegrini mendakwa pemain pertahanan Crystal Palace, Scott Dann sepatutnya dibuang padang kerana kekasaran keras terhadap penyerangnya, Sergio Aguero pada aksi Liga Perdana England kelmarin.
Gara-gara kekasaran itu, Aguero terpaksa dikeluarkan kerana kecederaan lutut kanan digantikan dengan pembelian baharu dari VFL Wolsburg, Kevin De Bruyne pada minit ke-24.
Bagaimanapun, The Citizens masih berupaya mengekalkan rekod 100 peratus kemenangan apabila seorang lagi pemain gantian, Kelechi Iheanacho, 18, meledak gol kemenangan 1-0 pada penghujung perlawanan ke atas Crystal Palace di Selhurst Park.
Biarpun pengendali Crystal Palace, Alan Pardew menganggap tindakan pengadil, Mike Jones melayang kad kuning kepada Dann adalah satu tindakan tepat, namun Pellegrini mahukan hukuman lebih berat sepatutnya diberikan kepada pemain tersebut.
“Kadang-kadang kamu keluarkan kad merah kerana kamu sedar niat sebenar pemain itu. Dia sengaja mahu menjatuhkan seseorang pemain dengan niat jahat.
“Saya tidak suka mengeluh terhadap setiap keputusan seperti Pardew lakukan pada awal permainan tetapi bagi saya, kamu berhak mengeluh dan tidak berpuas hati terhadap beberapa keputusan penting sahaja,” katanya.
Dalam perkembangan sama, Pardew dan Pellegrini turut dilihat tidak berpuas hati antara satu sama lain apabila perancang City, Yaya Toure melakukan terjahan keras terhadap pemain tengah tuan rumah, James McArthur.
Tiga mata berharga itu menyaksikan The Citizens kini kekal mendahului carta liga dengan 15 mata, lima mengatasi pasukan tempat kedua, Manchester United serta Arsenal yang menghuni tangga ketiga ketika ini.
Skuad bimbingan Pellegrini itu akan memulakan kempen Liga Juara-Juara bertemu Juventus di Stadium Etihad, Rabu ini. – Agensi
No comments:
Post a Comment