Saturday, 4 August 2018

Arsenal tutup kempen pra-musim dengan kemenangan



Unai Emery terpaksa akur bahawa pemain pertahanan, Nacho Monreal, tidak mungkin diturunkan untuk Arsenal menghadapi aksi pembukaan Liga Perdana Inggeris (EPL) menentang juara bertahan, Manchester City, Ahad depan akibat masalah lutut.

Monreal menyertai Sepanyol dalam kempen Piala Dunia Russia 2018 dan meskipun dia tidak mengalami kecederaan besar, dia dilanda kecederaan ringan. 

Emery, yang sedang mempersiapkan kempen pertamanya dalam kancah EPL, menerima tamparan dalam percaturannya susulan kehilangan Sead Kolasinac yang dijangka akan kembali dalam tempoh dua bulan.

Pemain muda, Ainsley Maitland-Niles, dipertaruhkan untuk menampung kecederaan pemain Bosnia-Herzegovina itu dan Emery berhasrat untuk melonjakkan keyakinannya, terutama apabila Monreal bergelut untuk cergas sempena kunjungan City.

"Dia (Kolasinac) tiba tanpa kecederaan berat, begitupun lututnya mengalami sedikit masalah dan dia berlatih setiap hari tetapi bukan bersama dengan skuad utama," kata Emery sejurus mengakhiri kempen pra-musim mereka dengan kemenangan selesa 2-0 ke atas Lazio di Stockholm, awal pagi tadi. 

"Dia berlatih bersendirian di samping jurulatih fizikal dan melakukan larian. Kami jangka pada Selasa nanti, dia sudah boleh memulakan latihan dengan pasukan.



"Kami tidak menginginkan kecederaan tetapi ia adalah salah satu perkara yang tidak dapat kami elakkan. Kami mempunyai pemain seperti Nacho tetapi dia tiba lewat susulan Piala Dunia dan turut mengalami kecederaan kecil.

"Sukar untuknya menghadapi Manchester City. Kami sedang berusaha membantu Ainsley bermain di posisi itu.

"Saya mahu memberi keyakinan kepada semua anak buah saya supaya dia boleh beraksi dalam posisi ini sebaik mungkin. Saya memiliki kepercayaan tinggi terhadap semua pemain."

Pemain muda, Reiss Nelson, memecah kebuntuan pada minit ke-18 sementara Pierre Emerick-Aubameyang memastikan kemunculannya dalam separuh masa kedua dirasai dengan menemui sentuhan penyudah menerusi sepakan leret pada minit ke-64 sambil muka baru, Lucas Torreira dan Stephan Lichtsteine, turut membuat penampilan pertama bersama The Gunners. 

No comments:

Post a Comment