Sebelum ini juara Piala Malaysia sebanyak 33 kali itu menggunakan Stadium Kuala Lumpur, Cheras sebagai gelanggang rasmi dan keputusan terbaru dibuat oleh kerajaan negeri bulan lalu adalah sebagai tanda sokongan kepada Presiden Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) yang baharu Raja Muda Selangor (RMS), Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah.
Pemain tengah Selangor, Azamuddin Akil mengharapkan pertukaran venue tersebut dapat memberikan semangat baharu buat pasukan dalam misi memburu kejuaraan kali ke-34 untuk Selangor.
“Aksi pertama peringkat kumpulan sangat penting dan kami mengharapkan keputusan positif memihak Selangor selepas dapat kembali beraksi di stadium keramat ini.
“Moral dan keyakinan pemain amat penting ketika berdepan PKNP FC meskipun kami telah mencatatkan kemenangan baru-baru ini untuk aksi liga di Ipoh.
“Saya mengharapkan semua rakan sepasukan waspada kebangkitan skuad kendalian Abu Bakar Fadzim kerana pastinya mereka akan tampil dengan harapan untuk menebus kekecewaan lalu.
“Aksi di liga dan kempen Piala Malaysia adalah dua saingan yang berbeza dan kami tidak boleh mengulangi kesilapan sama se­perti yang telah berlaku kepada pasukan sebelum ini jika ingin melangkah jauh,” katanya ketika dihubungi semalam.
Selain Selangor dan PKNP FC, Kumpulan D turut disertai Sabah dan Pahang.
Kempen Piala Malaysia juga menjadi pentas buat Selangor untuk menebus kekecewaan setelah tewas 0-2 kepada Pahang pada aksi final Piala FA awal bulan lalu.