Showing posts with label The Bos Gaurus. Show all posts
Showing posts with label The Bos Gaurus. Show all posts

Saturday, 4 August 2018

Perak lepas peluang kutip 3 mata di laman sendiri dgn pendatang baharu Felcra

Pemain tengah Perak, Brendan Gan (kiri) cuba melepasi halangan pemain pertahanan Felcra FC, Mohd. Alif Samsudin dalam perlawanan pertama Kumpulan A Piala Malaysia di Stadium Perak, Ipoh mlm tadi.

IPOH - Pasukan bola sepak Perak melepaskan peluang baik untuk memperoleh kemenangan ke atas Felcra FC selepas hanya sekadar seri tanpa jaringan dalam perlawanan pertama Kumpulan A Piala Malaysia di gelanggang sendiri di Stadium Perak di sini malam tadi.
Perak bermula garang seawal minit pertama perlawanan apabila terus menekan pasukan lawan dalam usaha mendapatkan jaringan awal perlawanan. 

The Bos Gaurus mendapat peluang baik pada minit kedua apabila penyerang mereka, Gilmar Jose da Silva Filho menanduk bola tepat ke gawang Felcra FC tetapi ia berjaya ditepis penjaga gol, Mohamad Fadley Abdul Rahim. 
Berselang 10 minit kemudian, giliran Felcra FC menyusun serangan dan mereka memperoleh peluang apabila penyerang, Anselmo Arruda da Silva membawa bola masuk ke dalam kotak penalti sebelum melepaskan tendangan namun berjaya dihalang pemain pertahanan Perak. 

Pasukan tuan rumah sekali lagi mendapat peluang untuk mendapatkan jaringan pada minit ke-32 namun bola tendangan penyerangnya, Wander Luiz Bitencourt Junior sekadar melepasi palang gol pasukan lawan. 
Pemain import pertahanan Perak, Jad Noureddine terlepas peluang untuk mendapatkan gol buat pasukannya apabila tandukannya selepas mendapat bola tinggi lambungan rakan sepasukan di dalam kotak penalti sedikit tersasar pada minit ke-40. 
Keputusan seri tanpa jaringan kekal sehingga wisel penamat babak pertama dibunyikan. 
Bersambung babak kedua, Perak memperkemaskan serangan namun tendangan kencang Brendan Gan berjaya ditanduk keluar pemain pertahanan Felcra FC. 
Beberapa percubaan pemain Perak turut berjaya dinafikan apabila Mohamad Fadley beraksi cemerlang mempertahankan bola daripada menerjah gawang Felcra FC.
Perak turut mendapat peluang untuk mendapatkan jaringan selepas pemain pertahanan Felcra, Mohamad Fandi Othman menerima layangan kad kuning kedua sekaligus terpaksa keluar dari perlawanan kerana dia menahan bola menggunakan tangan berhampiran kotak penalti pada minit ke-83.

Bagaimanapun, peluang tersebut tidak dimanfaatkan sepenuhnya oleh pasukan tuan rumah dan keputusan seri tanpa jaringan itu kekal sehingga tamat perlawanan yang dihadiri lebih 2,400 penyokong kedua-dua pasukan. - K! ONLINE 

Saturday, 15 July 2017

MSL : TRW terus derita, Perak langsai hutang (0-2)



Oleh Farizal Yusoff 15 Julai 2017

Impian Perak melangsaikan hutang kekalahan 2-4 dalam pusingan pertama Liga Super kepada Kelantan tercapai apabila menang bergaya 2-0 di Stadium Sultan Muhammad IV, malam ini.

Di sebalik tekanan dan harapan menggunung peminat, The Red Warriors (TRW) yang turun dengan misi wajib menang, melancarkan serangan pertama ke kubu Perak, malangnya sepakan Alessandro Padovani Celin terus ke dakapan penjaga gol, Muhammad Hafizul Hakim, pada minit kedua.

Minit ke-24, pemain tengah Perak, Mohamad Nasir Bashardin mencemaskan TRW apabila melakukan larian solo, berjaya menewaskan penjaga gol, Mohamad Ramadhan Abd Hamid, namun  sepakan leretnya dihalang pertahanan import, Mamadou Danso.

Pemain sayap, Mohd Nazrin Mohd Nawi, menggembirakan penyokong The Bos Gaurus apabila rembatan kencangnya pada minit ke-28 berjaya menewaskan Ramadhan hasil lorongan cantik pemain import, Yashir Pinto, untuk gol pertama Perak.

Tersentak dengan jaringan pembukaan Perak, TRW menggandakan asakan mencari gol penyamaan, malangnya sepakan percuma kapten pasukan, Indra Putra Mahayuddin, tersasar pada minit ke-30.

Bersambung dalam babak kedua, penyerang import Perak, Gilmar Jose Da Silva, dilayangkan kad kuning apabila ‘lakonan’ untuk mendapatkan penalti berjaya dikesan pengadil perlawanan, Suhaimi Mat Hassan, pada minit ke-47.

Shahrul Mohd Saad berjaya melakukan rembatan di luar kawasan penalti Kelantan, malangnya Ramadhan cukup bersedia di gawang pada minit ke-55.

Mint ke-60, pengurus TRW, Alfredo Gonzales, membuat pertukaran pemain apabila memasukkan pemain tengah, Mohd Rozaimi Azwar, dan mengeluarkan pemain sayap kiri,  Mohammad Qayyum, untuk menguatkan jentera tengah.

Celin hampir menjaringkan gol penyamaan Kelantan apabila sepakan leretnya terbias di sebelah kiri pintu gol Perak biarpun penjaga gol, Muhammad Hafizul, tersilap langkah pada minit ke-75.

Seladang terus di depan apabila penyerang import, Pinto, berjaya melepasi perangkap ofsaid Kelantan dan menyudahkan hantaran cantik Kenny Pallraj, menewaskan Ramadhan buat kali kedua, pada minit ke-79.

TRW berusaha mencari gol untuk merapatkan jaringan, malangnya barisan pertahanan The Bos Gaurus yang diketuai kapten, Mohd Shahrom Abdul Kalam, kental bertahan untuk menghadiahkan kekalahan kelapan Kelantan dalam saingan Liga Super, musim ini.