Saturday, 15 July 2017

MSL : TRW terus derita, Perak langsai hutang (0-2)



Oleh Farizal Yusoff 15 Julai 2017

Impian Perak melangsaikan hutang kekalahan 2-4 dalam pusingan pertama Liga Super kepada Kelantan tercapai apabila menang bergaya 2-0 di Stadium Sultan Muhammad IV, malam ini.

Di sebalik tekanan dan harapan menggunung peminat, The Red Warriors (TRW) yang turun dengan misi wajib menang, melancarkan serangan pertama ke kubu Perak, malangnya sepakan Alessandro Padovani Celin terus ke dakapan penjaga gol, Muhammad Hafizul Hakim, pada minit kedua.

Minit ke-24, pemain tengah Perak, Mohamad Nasir Bashardin mencemaskan TRW apabila melakukan larian solo, berjaya menewaskan penjaga gol, Mohamad Ramadhan Abd Hamid, namun  sepakan leretnya dihalang pertahanan import, Mamadou Danso.

Pemain sayap, Mohd Nazrin Mohd Nawi, menggembirakan penyokong The Bos Gaurus apabila rembatan kencangnya pada minit ke-28 berjaya menewaskan Ramadhan hasil lorongan cantik pemain import, Yashir Pinto, untuk gol pertama Perak.

Tersentak dengan jaringan pembukaan Perak, TRW menggandakan asakan mencari gol penyamaan, malangnya sepakan percuma kapten pasukan, Indra Putra Mahayuddin, tersasar pada minit ke-30.

Bersambung dalam babak kedua, penyerang import Perak, Gilmar Jose Da Silva, dilayangkan kad kuning apabila ‘lakonan’ untuk mendapatkan penalti berjaya dikesan pengadil perlawanan, Suhaimi Mat Hassan, pada minit ke-47.

Shahrul Mohd Saad berjaya melakukan rembatan di luar kawasan penalti Kelantan, malangnya Ramadhan cukup bersedia di gawang pada minit ke-55.

Mint ke-60, pengurus TRW, Alfredo Gonzales, membuat pertukaran pemain apabila memasukkan pemain tengah, Mohd Rozaimi Azwar, dan mengeluarkan pemain sayap kiri,  Mohammad Qayyum, untuk menguatkan jentera tengah.

Celin hampir menjaringkan gol penyamaan Kelantan apabila sepakan leretnya terbias di sebelah kiri pintu gol Perak biarpun penjaga gol, Muhammad Hafizul, tersilap langkah pada minit ke-75.

Seladang terus di depan apabila penyerang import, Pinto, berjaya melepasi perangkap ofsaid Kelantan dan menyudahkan hantaran cantik Kenny Pallraj, menewaskan Ramadhan buat kali kedua, pada minit ke-79.

TRW berusaha mencari gol untuk merapatkan jaringan, malangnya barisan pertahanan The Bos Gaurus yang diketuai kapten, Mohd Shahrom Abdul Kalam, kental bertahan untuk menghadiahkan kekalahan kelapan Kelantan dalam saingan Liga Super, musim ini.

No comments:

Post a Comment