WAJAH bahagia Lionel Messi dan Antonella Roccuzzo dalam majlis perkahwinan mereka di City Centre Complex, Rosario, Argentina semalam. AFP
PEMAIN prolifik Barcelona, Lionel Messi menamatkan zaman bujangnya dengan gadis pilihan yang dikenali sejak zaman kanak-kanak, Antonella Roccuzzo dalam majlis perkahwinan berlangsung di kampung halaman masing-masing di pusat bandar Rosario, Argentina semalam.
Majlis tersebut yang diberi jolokan ‘perkahwinan abad ini’ dihadiri kira-kira 260 tetamu termasuk bintang Barcelona seperti Neymar dan Luis Suarez, selain bekas pemain iaitu Xavi, Carles Puyol, Cesc Fabregas dan Samuel Eto’o.
Neymar posts a photo with the groom and former Barcelona team-mate Dani Alves
Antara bintang bola sepak lain yang turut hadir ialah penyerang Manchester City, Sergio Aguero dan Gerard Pique yang turut diiringi pasangannya Shakira, penyanyi pop terkenal Colombia.
Majlis tersebut juga diserikan dengan persembahan kumpulan pop Uruguay, Rombai dan Marama selain penyanyi Karina Tejeda yang juga teman wanita Aguero.
Dalam majlis perkahwinan yang diadakan secara tertutup itu, kedua-dua pasangan tersenyum lebar ketika berjalan di atas permaidani merah.
Roccuzzo tampil dengan gaun putih ala ikan duyung hasil rekaan Rosa Clara yang juga pereka fesyen kepada pelakon terkenal Amerika Syarikat, Eva Longoria dan Permaisuri Letizia dari Sepanyol.
Menjelang perkahwinan tersebut, majalah selebriti telah menamakan Roccuzzo sebagai ‘wanita pertama bola sepak’.
Roccuzzo merupakan sepupu kepada salah seorang rakan Messi pada zaman kanak-kanak dan mereka mengenali antara satu sama lain pada usia lima tahun.
Messi, 30 dan Roccuzzo, 29, saling berhubung meskipun pada ketika itu penyerang tersebut terpaksa berhijrah meninggalkan Rosario selepas menyertai Barcelona pada usia 13 tahun.
Media Argentina melaporkan, kedua-dua mempelai itu bercinta hampir tujuh tahun sebelum mengakhirinya dengan perkahwinan.
Selain menerima hadiah perkahwinan, pasangan itu juga memohon kepada tetamu untuk memberikan sumbangan kepada badan amal kanak-kanak.
“Mereka berdua saling melengkapi. Leo (Lionel Messi) tidak pernah berubah.
“Biarpun pelbagai pencapaian telah diraih, dia masih seperti kanak-kanak yang lebih mengutamakan kesederhanaan,” kata salah seorang sahabat Messi, Diego Vallejos, yang turut menghadiri majlis perkahwinan tersebut.
Bapa Roccuzzo, Jose, adalah pemilik rangkaian pasar raya, Unico dan bekas presiden persatuan rangkaian pemilik pasar raya serantau.
Dia juga dikenali sebagai peminat Newell’s Old Boys, iaitu kelab bola sepak Argentina yang disertai Messi ketika zaman kanak-kanak di Rosario.
Messi menempa nama di Barcelona dengan memenangi pelbagai anugerah berprestij termasuk Ballon d’Or sebanyak lima kali sehingga melonjakkan namanya sebagai pemain terhebat dunia.
“Seorang rakan yang kurus, yang pernah membesar bersama saya. Sukar untuk saya terangkan perasaan ini. Saya adalah rakan dan juga peminat Leo,” kata Vallejos lagi.
Messi dan Roccuzzo tinggal di Barcelona namun masih kerap pulang ke Rosario untuk bercuti.
No comments:
Post a Comment