Kyle Walker teruja dan berasa cemas untuk bekerjasama di bawah tunjuk ajar Pep Guardiola, namun percaya dia berada pada kemuncak prestasi selepas menyempurnakan perpindahan termahal ke Manchester City dari Tottenham Hotspur.
Walker menjadi bek termahal dan pemain Inggeris termahal sebaik tiba di City semalam dengan laporan perpindahan bernilai GBP50 juta (RM280 juta).
Pemain England itu belum pernah menjulang trofi sepanjang kariernya dan percaya peluang untuk memenangi medal meningkatkan lagi peluangnya, apatah lagi peluang bekerja di bawah kendalian pemenang Liga Juara-Juara Eropah (UCL) sebanyak dua kali, Guardiola.
"Saya di bawah bimbingan seorang jurulatih hebat. Saya terkejut -- sedikit gemuruh," kata Walker kepada laman sesawang Manchester City.
"Ini bab baru dalam karier saya di mana saya boleh menimba pengetahuan.
"Saya berasa pada usia yang sesuai dan mungkin di kemuncak karier saya. Saya hanya mahu belajar dan cuba menjadi pemain terbaik sehabis mungkin.
"Saya belum berbincang secara mendalam dengannya (Guardiola) lagi. Perbualan kami sebelum ini sangat positif.
"Dia mengatakan saya sangat sesuai dengan corak permainan yang dihajatinya. Apa yang penting bagi kami adalah memenangi trofi.
"Ini merupakan kelab besar, mempunyai barisan pemain yang bagus dan kami perlu terus memenangi sesuatu."
Walker dilaporkan berbalah dengan ketua jurulatih Spurs, Mauricio Pochettino, berkenaan dengan polisi penggiliran pemain di mana Kieran Trippier lebih menjadi pilihan untuk perlawanan besar, termasuk aksi separuh akhir Piala FA bertemu Chelsea dan pertembungan liga dengan Arsenal dan Manchester United.
Begitupun, pemain berusia 27 tahun itu memuji impak pengendali dari Argentina itu terhadap kariernya.
"Tottenham merupakan kelab yang hebat, mereka membantu saya mencapai tahap seperti hari ini," tambah Walker.
"Saya banyak belajar di sana -- terutama di bawah bimbingan pengurus ketika ini, dia sangat hebat buat saya.
"Ada kalanya perjalanan saya bukan di situ, anda perlu memandang masa depan. Sebuah tempat berbeza dan berharap memenangi trofi. Itulah diri saya dan apa yang akan saya lakukan."
No comments:
Post a Comment