Mereka perlu menang pada perlawanan itu jika mahu menempah tiket secara automatik ke kejohanan berprestij itu di China tahun depan.
Semuanya gara-gara kekalahan 0-3 kepada Thailand pada perlawanan kedua Kumpulan H di Stadium Nasional Supchalasai, Bangkok malam tadi.
Pada Rabu lalu, skuad kendalian Datuk Ong Kim Swee itu menang bergaya 3-0 pada aksi pembukaan menentang Indonesia, namun rentak cemerlang itu gagal diteruskan pada perlawanan dengan Thailand malam tadi.
Kekalahan tersebut meletakkan skuad B-22 negara dalam situasi belum selamat kerana Indonesia telah berpesta gol membelasah Mongolia 7-0 pada satu lagi perlawanan petang semalam.
Andai Indonesia dan Thailand berpakat mencatat keputusan seri pada aksi terakhir esok, Malaysia wajib menang ke atas Mongolia yang melakar kejutan seri 1-1 dengan Thailand, Rabu lalu.
Selepas mengharungi dua perlawanan, skuad B-22 negara kini menghuni tangga ketiga Kumpulan H dengan mengumpul tiga mata manakala Thailand mendahului kedudukan dengan empat mata diikuti Indonesia (tiga mata).
Mongolia menghuni tangga tercorot kumpulan itu dengan satu mata.
Pada aksi malam tadi, skuad negara dilihat kurang bermaya dan mereka gagal mengimbangi rentak permainan pantas yang dipamerkan pasukan tuan rumah.
Pada sepuluh minit pertama permainan, rentak skuad negara nampak lebih menyengat tetapi peluang yang mereka peroleh untuk menjaringkan gol tidak dipergunakan dengan baik.
Sebaik Thailand menemui rentak, pasukan tuan rumah itu mudah meloloskan diri untuk memecah kebuntuan pada minit ke-25 menerusi Chenrop Samphaodi diikuti jaringan kedua pemain yang sama pada minit ke-45.
Aksi pada separuh masa kedua nampak seimbang, tetapi barisan pemain negara gagal mengekalkan rentak cemerlang dan dilihat agak hilang fokus terutama pada sepuluh minit terakhir permainan.
Akibatnya, ia membuka ruang kepada Thailand untuk menambah jaringan pada minit ke-87 menerusi Phicha Au-Tra.
“Kami bermula dengan baik tetapi rentak permainan kemas itu tidak dapat dikekalkan sehingga membuka ruang kepada Thailand untuk menguasai permainan.
“Para pemain telah melakukan yang terbaik tetapi tindakan penyudah tidak begitu kemas walaupun kami memperoleh beberapa peluang untuk menjaringkan gol,” jelas Kim Swee.
Menurutnya, mereka perlu bangkit pada aksi terakhir menentang Mongolia bagi mencerahkan peluang skuad negara layak ke pusingan akhir di China tahun depan.
No comments:
Post a Comment