LIVERPOOL – Liverpool akhirnya menamatkan usaha mereka untuk menandatangani Naby Keita selepas akur dengan keengganan RB Leipzig melepaskan pemain tengah itu musim ini.
Pengurus The Reds, Jurgen Klopp, 50, memandang tinggi kemampuan Keita, 22, sehingga sanggup membida bintang dalam pembikinan tersebut dengan rekod pembelian termahal dalam sejarah pasukan dari Merseyside itu.
Keinginan tinggi Klopp untuk membawa Keita ke saingan Liga Perdana England bermula dengan tawaran pertama Liverpool bernilai £57 juta (RM320.6 juta) awal bulan ini, namun ditolak oleh Leipzig.
Pengendali dari Stuttgart, Jerman itu tidak berputus asa dengan menawarkan tawaran kedua dianggarkan bernilai £66 juta (RM371.2 juta).
Ia merupakan harga yang lebih tinggi daripada nilai The Reds ketika membeli Mohamed Salah dari AS Roma baru-baru ini.
Bagaimanapun, Leipzig sekali lagi menolak tawaran tersebut dengan menjelaskan keengganan mereka untuk melepaskan Keita biarpun pemain skuad antarabangsa Guinea itu terdesak untuk meninggalkan pasukan Jerman tersebut.
Satu cara sahaja membolehkan Liverpool menandatangani Keita sebelum jendela perpindahan pemain ditutup pada 1 September depan iaitu Leipzig membuat ‘pusingan U’ dengan melepaskan pemain yang sudah tiada hati untuk menyarung jersi mereka.
Ia ekoran insiden perbalahan antara Keita dengan rakan sepasukannya, Diego Demme dalam sesi latihan Leipzig pada Isnin lepas.
Selain itu, Pengarah Sukan Leipzig, Ralf Ragnick juga didakwa menuduh penduduk kampung Keita di Guinea menjadi ‘dalang utama’ menghasut pemain itu untuk berhijrah menyertai Liverpool.
Bagaimanapun, Klopp sudah mengibarkan bendera putih terhadap usahanya ‘memancing’ Keita selagi Leipzig kekal dengan pendirian mereka. – Agensi
No comments:
Post a Comment