LONDON – Perancang Arsenal, Mesut Ozil dilaporkan menolak tawaran beberapa kelab gergasi seperti Barcelona, Paris Saint-Germain dan Manchester United selepas menandatangani kontrak baharu bersama The Gunners.
Kontrak baharu itu menyaksikan Ozil memperoleh pendapatan mingguan sebanyak £350,000 (RM1.94 juta) sekali gus menamatkan spekulasi mengenai masa depannya di Emirates.
Sebelum ini, Ozil dikatakan hampir meninggalkan Arsenal selepas kontraknya tamat penghujung musim ini tetapi dia akhirnya membuat keputusan untuk kekal di London bagi tempoh tiga tahun setengah lagi.
Berita tersebut nyata menambahkan lagi kegembiraan para penyokong Arsenal selepas mereka turut berjaya mendapatkan khidmat penggempur Borussia Dortmund, Pierre-Emerick Aubameyang pada hari terakhir sebelum jendela perpindahan musim sejuk ditutup
Akhbar sebelum ini melaporkan Ozil menolak tawaran tiga kelab gergasi Eropah itu serta kelab dari Liga Super China yang mahukan khidmatnya untuk terus kekal di London.
Keresahan para peminat Arsenal mengenai masa depan pemain antarabangsa Jerman itu berakhir selepas Ozil memuat naik gambarnya yang sedang menandatangani poster di laman Twitter dan memberi bayangan bahawa dia akan kekal menabur bakti bersama skuad kendalian Arsene Wenger. – Agensi
No comments:
Post a Comment