Showing posts with label Terengganu vs Perak. Show all posts
Showing posts with label Terengganu vs Perak. Show all posts

Tuesday, 30 October 2018

Aksi macam sarkas - Lee Tuck

GAMBAR fail, pemain Terengganu, Lee Andrew Tuck diasak pemain Perak ketika Perlawanan Akhir Piala Malaysia 2018 Perak menentang Terengganu di Stadium Shah Alam. - Foto Nur Adibah Ahmad Izam

KUALA TERENGGANU: "Saya mohon maaf kepada peminat kerana gagal membawa pulang Piala Malaysia dan tidak dapat membantu pasukan hingga tamat permainan kerana kad merah," kata arkitek Terengganu FC (TFC), Lee Tuck.
Itu reaksi pertama pemain import TFC ini selepas perlawanan akhir di Stadium Shah Alam, Sabtu lalu yang menyaksikan Perak menang 4-1 menerusi sepakan penentuan penalti, selepas terikat 3-3.
Sebelum perlawanan, pemain berdarah kacukan itu adalah nadi kekuatan skuad Penyu kerana keupayaannya sebagai perancang dan juga peledak.
Namun aksi Sabtu lalu yang penuh dengan drama, pemain yang digelar 'Rooney Ganu' itu diperintah keluar padang oleh pengadil kontroversi, Suresh Jayamaran pada minit ke-66.
Tuck menerima kad kuning kedua kerana mengasari pemain Perak sekaligus menyebabkan jentera tengah skuad Penyu tempang untuk meneruskan baki saingan.
Mengimbau detik itu, pemain kelahiran England ini bagaikan tidak percaya dengan keputusan pengadil melayangkan kad merah kepadanya, namun terpaksa akur kerana keputusan berkenaan tidak boleh diubah.
"Sukar untuk nyatakan sama ada saya berpuas hati atau tidak pada perlawanan akhir itu lebih-lebih lagi kami tidak menang selepas mendahului perlawanan pada babak pertama.
"Perlawanan itu dah jadi macam sarkas, dengan aksi pergaduhan dan terjahan liar daripada kedua-dua pasukan. Saya bagai tidak percaya pengadil gagal mengawal permainan dengan baik perlawanan itu.
"Malah banyak keputusan dibuat tidak tepat kepada kedua-dua pasukan, ia di luar jangka dan sukar dijangka sama sekali. Akibatnya pemain kedua-dua pasukan bagai mendapat 'lesen besar'.
"Tetapi itulah bola sepak, saya terima kekalahan ini dan tahniah kepada Perak.
"Kepada peminat setia skuad TFC, sokongan anda memang kelas pertama. Saya sudah memberikan segalanya untuk pasukan bermula awal musim, malah menyasarkan satu piala bersama TFC, namun ia tidak menjadi kenyataan," katanya.

Piala Malaysia : Saya dah tanya Suresh

PENJAGA gol Perak, Hafizul Hakim meraikan kemenangan selepas pasukannya menewaskan Terengganu FC dalam penentuan speakan penalti pada final Piala Malaysia di Stadium Shah Alam. - Foto Luqman Hakim Zubir

KUALA LUMPUR: “Saya bukan kata tiru atau apa, tapi saya ikut Jan Oblak, penjaga gol Atletico Madrid, saya nampak dia buat macam itu. Lagipun saya sudah tanya pengadil (mengenai tindakannya berada di dalam gawang ketika sepakan penalti).”
Itu reaksi penjaga gol Perak Hafizul Hakim Khairul Nizam Jothy mengenai tindakannya ketika menyelamatkan sepakan penalti pemain Terengganu FC pada final Piala Malaysia, Sabtu lalu yang menjadi pertikaian pelbagai pihak.
Ketika aksi penentuan sepakan penalti di Stadium Shah Alam itu, Hafizul Hakim dikatakan melakukan kesalahan apabila tidak berada di atas garisan gol sebelum bola disepak pemain Terengganu.
Sebaliknya penjaga gol berusia 25 tahun itu berada di dalam gawang.
Bagaimanapun Hafizul Hakim yang berjaya menyelamatkan dua sepakan penalti pemain Terengganu untuk Perak menang 4-1 selepas aksi sebenar terikat 3-3 berkata, dia hanya mengikut arahan pengadil perlawanan Suresh Jayaranam.
“Sebelum penalti, pengadil (Suresh) cakap cuma kekal di atas garisan gol. Kalau keluar ke depan, kena kad kuning. Saya tanya dia, boleh tak saya berada di dalam gol, dia cakap boleh, jadi saya ikut apa yang saya tengok Oblak buat. Bagi saya, tiada kesalahan kerana saya sudah tanya pengadil terlebih dulu.
“Kebanyakan penalti membabitkan Atletico, Oblak ada buat begitu. Saya hanya ikut dia, ambil sikit-sikit (cara menyelamatkan sepakan penalti),” katanya.
Dalam laporan NSTP semalam, seorang bekas pengadil tempatan berpendapat Suresh melakukan kesilapan kerana tidak menghukum Hafizul Hakim meskipun dia tidak berada di atas garisan gol ketika sepakan dibuat.
Beliau yang enggan identitinya didedahkan berkata, penjaga gol Perak itu sepatutnya menerima kad kuning dan sepakan penalti itu diambil semula.
Hafizul Hakim yang melaporkan diri bersama skuad kebangsaan semalam bagi persediaan menghadapi Piala AFF berkata, dia tetap akan menggunakan cara itu selagi dibenarkan pengadil perlawanan.
“Selagi dibenarkan pengadil, saya akan teruskan. Jika pengadil cakap tak boleh baru tak buat, kalau OK, saya teruskan,” katanya.

Saturday, 27 October 2018

Fakta di final Piala Malaysia 2018


🏆 PERAK JUARA unifi PIALA MALAYSIA 2018 🏆

Kejuaraan kali Ke-8 buat Perak TBG selepas kali terakhir menjulang trofi ini pada 2000 !

#unifiPialaMalaysia2018
#MalaysianFootballLeague



The Bos Gaurus dakap Piala Malaysia 2018, Penyu menangis lagi

Bangkit dari ketinggalan dua kali untuk julang trofi kelapan menerusi sepakan penalti

SHAH ALAM - Kemarau 18 tahun skuad Perak berakhir selepas berjaya mendakap trofi Piala Malaysia kelapan dalam sejarah dengan menewaskan Terengganu FC I (TFC I) 4-1 selepas kedua-dua pasukan terikat 3-3 pada aksi final yang penuh epik dan kontroversi di Stadium Shah Alam sebentar tadi.
Pada perlawanan tersebut, skuad kendalian Irfan Bakti Abu Salim hanya memerlukan kurang 60 saat untuk mendahului hasil ledakan kapten pasukan, Tchetche Kipre  yang bijak menggunakan peluang terhidang hasil kelekaan barisan pertahanan Perak.
Pasukan The Bos Gaurus kemudiannya berjaya menyamakan kedudukan menerusi tandukan Leandro Dos Santos tetapi jaringan tersebut dibatalkan oleh pengadil perlawanan, Suresh Jayamaran kerana mengasari penjaga gol TFC I.

Kesempatan tersebut digunakan sepenuhnya oleh Kepre sekali lagi menghukum benteng pertahanan Perak dengan gol kedua peribadi pada minit ke-42 untuk memberi bekalan selesa buat skuad Sang Penyu pada babak pertama.

Bersambung pada babak kedua, skuad kendalian Mehmet Durakovic tampil lebih yakin dan berjaya meraih gol 'semangat' menerusi ledakan Muhd. Firdaus Saiyadi pada minit ke-46.

Perak sekali lagi dihampakan apabila gol penyamaan jaringan penyerang sensasi, Gilmar Da Silva sejurus selepas itu dibatalkan kerana ofsaid.

Pemain Terengganu meraikan jaringan pertama mereka yang juga merupakan gol terpantas di pentas final Piala Malaysia setakat ini. - Foto AZRUL EDHAM MOHD AMINUDDIN

Perlawanan yang disaksikan hampir 80,000 penyokong itu mula menimbulkan kontroversi apabila Da Silva dilayangkan kad merah kerana membantah keputusan pengadil pada minit ke-60.
Skuad TFC I turut menerima nasib yang sama apabila pemain berpengaruh, Lee Andrew Tuck diarah keluar padang selepas mengasari Brendan Gan pada minit ke-67.
Pemain Terengganu, Abdul Malik Mat Ariff (kiri) diasak dua pemain Perak dalam perlawanan akhir Piala Malaysia 2018 di Stadium Shah Alam di sini hari ini. - Foto AZRUL EDHAM MOHD AMINUDDIN
Perak kembali mengikat kedudukan menjadi 2-2 selepas Brendan Gan meledak gol penyamaan pada masa kecederaan untuk mengheret perlawanan ke masa tambahan.
TFC I kembali mendahului apabila pemain lincah, Mohd. Faiz Nasir menjaringkan gol cantik dari luar kotak pada minit-96.
Semangat pantang menyerah kalah pasukan Perak dengan melakukan asakan bertali arus membuahkan hasil selepas memaksa pertahanan TFC I, Igor Zonjic menjaringkan gol sendiri  pada penghujung masa tambahan untuk memastikan saingan diputuskan dengan penentuan sepakan penalti. 
Penjaga gol Perak, Hafizul Hakim muncul wira dengan menyelamatkan dua sepakan pemain TFC I untuk memastikan Perak mendakap Piala Malaysia buat kali pertama sejak tempoh 18 tahun. - K! ONLINE

Barisan pemain utama Perak yang berjaya membawa pulang gelaran kelapan Piala Malaysia malam ini. - Foto AZRUL EDHAM MOHD AMINUDDIN

#FINALygEpic
#BestEver Final PM
#KadKuningKadMerah
#kesilapanpertahananmembawapadah
#Xtratime #sepakanpenalti


PEMAIN TERBAIK PERLAWANAN - BRENDAN GAN

Saturday, 11 August 2018

Piala Malaysia: Skuad Penyu benam Seladang 4-3


IPOH - Terengganu Football Club 1 (TFC 1) menang tipis 4-3 ke atas skuad Perak dalam perlawanan kedua, kumpulan A saingan Piala Malaysia di Stadium Perak di sini sebentar tadi.
Skuad Penyu yang dikendalikan oleh Irfan Bakti memperoleh gol pertama seawal minit kelapan menerusi jaringan penyerang TFC 1, Mohamad Ashari Samsudin.
Jaringan tersebut terhasil selepas penyerang import TFC 1, Tchetche Herman Kipre melepaskan rembatan kencang namun, penjaga gol Perak, Muhammad Hafizul Hakim menepis sepakan itu sebelum Mohamad Ashari melakukan tendangan susulan di hadapan gawang skuad The Bos Gaurus.
TFC 1 memperoleh peluang menjarakkan kedudukan jaringan selepas Herman Kipre dijatuhkan di dalam kotak penalti pada minit ke-38.
Penyerang skuad Penyu itu mengambil sepakan penalti namun, tidak bernasib baik untuk menjaringkan gol apabila Muhammad Hafizul Hakim dapat membaca sepakan yang dilakukan ke bahagian kanan gawang.
TFC 1 bagaimanapun dapat menebus kehampaan itu apabila mereka dihadiahkan sepakan penalti kedua pada minit ke-45 selepas K.J. Partiban dijatuhkan pertahanan Perak, Amirul Azhan Aznan.
Penyerang skuad Penyu, Lee Andrew Tuck berjaya menyempurnakan sepakan penalti sekali gus menjadikan kedudukan 2-0.
TFC 1 terus menambah derita anak-anak buah Mehmed Durakovic apabila Wan Ahmad Amirzafran menjaringkan gol ketiga dengan menyentuh bola hasil sepakan percuma yang diambil oleh Lee Andrew Tuck sebelum menerjah gawang Perak.
Lee Andrew Tuck bagaimanapun dilayangkan kad merah selepas menerima layangan kad kuning kedua pada minit ke-70 apabila dia melakukan terjahan keras terhadap pemain tengah Perak, Muhammad Firdaus Saiyadi.

Meskipun bermain dengan 10 pemain, semangat TFC 1 seakan tidak luntur apabila pemain tengah skuad Penyu, Mohd. Faiz Mohd. Nasir menjaringkan gol keempat pada minit ke-81.
Ketinggalan 0-4, Perak tidak mudah mengalah dan berjaya menjaringkan gol pertama pada minit ke-85 menerusi rembatan kencang Wander Luiz.
Wander Luiz sekali lagi menambah jaringan kedua skuad The Boss Gaurus empat minit kemudian selepas dia melakukan rembatan deras dari luar kotak penalti sebelum bola menerjah gawang TFC 1.
Perak bagaimanapun terus mengasak ke gawang TFC 1 dan memperoleh sepakan penalti pada masa kecederaan apabila Leandro Dos Santos dijatuhkan di dalam kotal penalti.
Leandro berjaya menyempurnakan sepakan penalti sekali gus menjadikan kedudukam jaringan 3-4.
Keputusan itu kekal sehingga ke wisel penamat perlawanan. - K!ONLINE