KUALA LUMPUR: “Saya bukan kata tiru atau apa, tapi saya ikut Jan Oblak, penjaga gol Atletico Madrid, saya nampak dia buat macam itu. Lagipun saya sudah tanya pengadil (mengenai tindakannya berada di dalam gawang ketika sepakan penalti).”
Itu reaksi penjaga gol Perak Hafizul Hakim Khairul Nizam Jothy mengenai tindakannya ketika menyelamatkan sepakan penalti pemain Terengganu FC pada final Piala Malaysia, Sabtu lalu yang menjadi pertikaian pelbagai pihak.
Ketika aksi penentuan sepakan penalti di Stadium Shah Alam itu, Hafizul Hakim dikatakan melakukan kesalahan apabila tidak berada di atas garisan gol sebelum bola disepak pemain Terengganu.
Sebaliknya penjaga gol berusia 25 tahun itu berada di dalam gawang.
Bagaimanapun Hafizul Hakim yang berjaya menyelamatkan dua sepakan penalti pemain Terengganu untuk Perak menang 4-1 selepas aksi sebenar terikat 3-3 berkata, dia hanya mengikut arahan pengadil perlawanan Suresh Jayaranam.
“Sebelum penalti, pengadil (Suresh) cakap cuma kekal di atas garisan gol. Kalau keluar ke depan, kena kad kuning. Saya tanya dia, boleh tak saya berada di dalam gol, dia cakap boleh, jadi saya ikut apa yang saya tengok Oblak buat. Bagi saya, tiada kesalahan kerana saya sudah tanya pengadil terlebih dulu.
“Kebanyakan penalti membabitkan Atletico, Oblak ada buat begitu. Saya hanya ikut dia, ambil sikit-sikit (cara menyelamatkan sepakan penalti),” katanya.
Dalam laporan NSTP semalam, seorang bekas pengadil tempatan berpendapat Suresh melakukan kesilapan kerana tidak menghukum Hafizul Hakim meskipun dia tidak berada di atas garisan gol ketika sepakan dibuat.
Beliau yang enggan identitinya didedahkan berkata, penjaga gol Perak itu sepatutnya menerima kad kuning dan sepakan penalti itu diambil semula.
Hafizul Hakim yang melaporkan diri bersama skuad kebangsaan semalam bagi persediaan menghadapi Piala AFF berkata, dia tetap akan menggunakan cara itu selagi dibenarkan pengadil perlawanan.
“Selagi dibenarkan pengadil, saya akan teruskan. Jika pengadil cakap tak boleh baru tak buat, kalau OK, saya teruskan,” katanya.
No comments:
Post a Comment