JDT yang menghimpunkan ramai nama besar, terutama pemain tempatan, memperoleh gol kemenangan menerusi bintang import, Marcos Antonio dan Luciano Figueroa.

Kemenangan membolehkan mereka meraih mata pertama yang ditawarkan dalam Liga Super musim ini, selain memenangi perlawanan sumbangsih buat kali pertama.

Beraksi di hadapan 21,000 penonton di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, juara Liga Super musim lalu itu mempamer aksi jauh lebih bertenaga berbanding juara Piala Malaysia serta Piala FA, Pahang.
Bukan sahaja mendominasi permainan, Harimau Selatan tampak lebih garang dengan kerap mengasak kubu lawan menerusi gerakan cantik dan hantaran pendek.

Jika dilihat aksi keseluruhan kedua-dua pasukan, JDT layak bergelar juara malah boleh menang dengan jaringan lebih besar menerusi ketajaman serangan Figue­roa dan Pereyra Diaz.
Jelas tanpa kelibat Azamuddin Mohd. Akil, jentera serangan Tok Gajah tumpul dan gagal melakukan percubaan tepat ke arah penjaga gol, Mohd. Farizal Marlias.

Muka baharu JDT, Junior Eldstal hampir menyumbang gol pertama Harimau Selatan pada minit kelapan namun sedikit tersasar.

Gol pertama tuan rumah hadir pada minit ke-37 yang bermula ha­sil sepakan sudut Safiq Rahim yang ditanduk oleh Hariss Harun ke arah Marcos yang menanduk dari jarak dekat menewaskan Mohd. Khairul Azhan Mohd. Khalid.

Bermula babak kedua, Pahang lebih kerap menggunakan kepantasan R. Gopinathan di bahagian sayap.
Namun, belum pun Tok Gajah menemui rentak, Harimau Selatan terus menghukum pasukan pelawat dengan menambah jaringan kedua menerusi tandukan padu Figueroa pada minit ke-58.