KAPTEN Sabah, El Hadji Diouf (kiri) cuba melepasi halangan pemain Kuala Lumpur dalam aksi Liga Perdana di Stadium Merdeka, semalam. – Utusan/DJOHAN SHAHRIN SHAH
KUALA LUMPUR - Penyerang import Sabah, El Hadji Diouf kecewa kerana terpaksa beraksi atas permukaan padang yang daif sewaktu membantu pasukannya menewaskan Kuala Lumpur 2-0 dalam aksi pembukaan Liga Perdana di Stadium Merdeka di sini semalam.
Malah, bekas bintang Liga Perdana Inggeris itu menegaskan, sekiranya dia tahu kebanyakan stadium di sini sangat teruk sudah pasti dia tidak akan beraksi di Malaysia.
Penyerang Senegal berusia 34 tahun itu berkata, dia amat sedih melihat permukaan padang yang tidak rata, sambil menegaskan, perkara sebegitu tidak sepatutnya berlaku tatkala Liga Malaysia sedang mencuri tumpuan ramai.
“Sungguh mendukacitakan apabila saya melihat keadaan permukaan padang, malah saya tidak sangka akan beraksi di tempat sebegini.
“Stadium Merdeka adalah stadium memorial kerana banyak peristiwa bersejarah berlaku di sini. Ia sepatutnya dipelihara dengan baik.
“Keadaan permukaan padang yang tidak rata menyebabkan pemain tidak dapat beraksi dengan baik dan ini tidak bagus.
“Penonton bayar tiket untuk menonton perlawanan dan jika mereka tidak terhibur, kasihan mereka,” kata bekas penyerang Liverpool.
Dalam perlawanan tersebut gol Sabah hadir menerusi jaringan Diouf pada minit ke-45 menerusi sepakan penalti selepas Leopold Alfonso dikasari pertahanan Kuala Lumpur dalam kotak penalti.
Sejurus babak kedua bermula, Sabah hanya memerlukan 10 minit untuk menggandakan jaringan apabila Diouf melorong bola kepada Mohd. Azizan sebelum Shafuan Adli melepaskan rembatan kencang menewaskan penjaga gol lawan, Badrol Hanafi Ali.
Kuala Lumpur turut melakukan beberapa percubaan dalam usaha mencari gol, namun gagal menghasilkan sebarang jaringan sehingga tamat masa penuh permainan.
No comments:
Post a Comment