Saturday, 21 February 2015

Kelantan tersungkur di gelanggang sendiri {kosmo}

 PENJAGA gol PDRM, Badrulzaman Abdul Halim (kiri) cuba menyelamatkan bola daripada asakan Carrillo (dua dari kanan) pada saingan Liga Super di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu malam tadi.
MALANG menimpa Kelantan apabila dimalukan di hadapan penyokong sendiri setelah tewas 0-4 kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang terus melakar kejutan dalam aksi Liga Super di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu malam tadi.
Pada perlawanan tersebut, kedua-dua pasukan memulakan permainan dengan aksi hambar apabila beberapa peluang yang dimiliki gagal diterjemahkan dengan jaringan.
Kebuntuan jaringan pada perlawanan itu hampir dileraikan oleh Kelantan menerusi Wan Zaharul Nizam Wan Zakaria pada minit ke-22, bagaimanapun kuisannya berjaya disekat oleh pertahanan import pelawat, Kughegbe Onorionde.
Tujuh minit berselang, Wan Zack Haikal Wan Noor pula terlepas peluang untuk mencetak jaringan apabila gagal memanfaatkan peluang terhidang di depan pintu gol PDRM.
Ketika aksi babak pertama seolah-olah berakhir dengan keputusan seri, penyerang import PDRM, Ashfaq Ali menghukum kealpaan benteng pertahanan tuan rumah dengan meledak jaringan pertama perlawanan.
Bersambung babak kedua, The Red Warriors bangkit untuk mendapatkan gol penyamaan, namun tidak membuahkan hasil apabila deretan peluang yang dimiliki gagal disudahkan oleh barisan penyerang diketuai oleh Erwin Carrillo.
Keghairahan Kelantan memburu jaringan penyamaan dihukum pelawat menerusi gol kedua hasil sepakan penalti Dramane Thaore pada minit ke-53 selepas penjaga gawang tuan rumah, Khairul Fahmi Che Mat menjatuhkan Ashfaq.
Ashfaq terus membuktikan ketajaman penyudah dengan menghukum kealpaan pertahanan Kelantan apabila menjaringkan gol ketiga PDRM pada minit ke-73.
Tuan rumah terus dirundung malang selepas itu, apabila Mohamadou Sumareh meledakkan gol keempat PDRM pada minit ke-85 selepas bijak menghukum kealpaan benteng pertahanan Kelantan dan keputusan itu kekal hingga tamat permainan.

No comments:

Post a Comment