Pemain kelab Belgium, Zulte Waregem itu mengecewakan penyokong Korea apabila bola percubaan terakhir di penghujung babak pertama masa tambahan memastikan Australia tidak kempunan lagi pada edisi kali ini selepas kecewa di tangan Jepun pada 2011.

Sebaliknya, malang berterusan buat Korea Selatan kerana mereka masih gagal menamatkan badi semenjak 1960 apabila tewas buat kali keempat pada pentas akhir.

Menurut jurulatih Australia, Ange Postecoglou, pemainnya berhak meraih pujian kerana semangat mereka tidak pernah luntur walaupun Korea Selatan menafikan seketika hajat Australia melalui jaringan penyamaan Son Heung-Min pada masa kecederaan.

"Semua pemain bekerja keras untuk memastikan kejuaraan kali ini.

"Dalam perlawanan akhir, semua tidak berlaku seperti dirancang kerana cabarannya cukup sukar, hanya mereka yang berani sahaja mampu muncul sebagai pemenang.

"Saya tahu kami mampu menamatkan perlawanan ini dengan baik dan kami berasa bangga kerana mampu beraksi cemerlang sehingga 120 minit.

"Kami juga berjaya mengambil peluang yang terhidang. Australia kini mampu menakluk dunia ke­rana keyakinan saya tidak pernah luntur kepada mereka, ” kata Postecoglu.

Socceroos berada di hadapan pada penghujung separuh masa pertama melalui Pemain Paling Bernilai Kejohanan Piala Asia, Massimo Luongo menerusi sepakan kencang yang terus menerjah jaring dan menggamatkan kira-kira 76,000 penonton yang hadir.

Ketika penyokong Australia sudah bersiap sedia meraikan kejua­raan, bintang utama Korea Selatan, Heung-Min mempersembahkan semangat juang luar biasa.

Dia yang melakukan gerakan bersama dengan ketua pasukan, Ki Sung-Yeung, berjaya menewaskan Mathew Ryan untuk membawa permainan ke masa tambahan.

Namun, api perjuangan pemain Australia langsung tidak pernah padam sebaik melangkah ke masa tambahan dan hasilnya, kerja keras ditunjukkan oleh Tomi Juric yang berjaya melepasi kawalan Kim Jin-Su dari sebelah kanan, membuahkan sesuatu buat Socceroos.

Hantaran lintang dari Juric sekadar ditampan lemah oleh penjaga gol, Kim Jin-Hyeon sebelum Troisi melepaskan rembatan ke arah pintu gol yang ternganga luas. – Reuters 

pic espn.com