Showing posts with label Mohd Faiz Subri. Show all posts
Showing posts with label Mohd Faiz Subri. Show all posts
Tuesday, 10 January 2017
Sunday, 21 February 2016
Sepakan percuma Faiz hasil teknik yang baik – Nasril {Kosmo}
NASRIL menyifatkan sepakan percuma Faiz yang menerjah sebelah kiri gawangnya sebagai teknik yang baik
JARINGAN menarik hasil sepakan percuma pemain Pulau Pinang, Mohd. Faiz Subri dalam perlawanan kedua Liga Super menentang Pahang di Stadium Bandaraya Selasa lalu adalah hasil daripada teknik sepakan yang baik, menurut penjaga gol Pahang, Mohd. Nasril Nourdin.
Menurutnya, tidak banyak perkara yang boleh dilakukan apabila bola tersebut yang pada mulanya menuju tepat ke arahnya secara tiba-tiba bertukar haluan menuju ke penjuru atas kanan gawang pada minit ke-62.
“Gol Faiz adalah satu teknik yang baik, ia mungkin dibantu faktor angin juga sebab saya memang sudah berada pada posisi yang betul untuk menyelamatkan sepakan tersebut, namun tiba-tiba bola itu berpusing.
“Saya tak boleh nak jangka pergerakan bola itu. Saya ucap banyak tahniah kepada Faiz kerana berjaya menjaringkan gol yang terbaik.
“Faktor lampu stadium tidak memainkan sebarang peranan untuk mengganggu penglihatan saya sebab bola itu menuju terus ke arah saya. Saya fikir ia faktor angin tapi saya pun tak tahu,” katanya.
Jaringan Faiz untuk gol ketiga itu membantu Pulau Pinang menewaskan Pahang 4-1 menjadi viral di media sosial dan disamakan dengan jaringan lencong oleh pemain pertahanan Brazil, Roberto Carlos dalam perlawanan menentang Perancis pada tahun 1997.
Ia disebut-sebut untuk dicalonkan bagi anugerah FIFA Puskas bagi tahun 2016 yang telah diperkenalkan pada tahun 2009 untuk mengiktiraf pemain yang menjaringkan gol cantik sempena nama penyerang Real Madrid Ferenc Puskas.
Thursday, 18 February 2016
Gol ‘ajaib’ Faiz curi tumpuan dunia [utusan]
KUALA LUMPUR - -Gol ajaib yang dihasilkan oleh pemain tengah Pulau Pinang, Mohd. Faiz Subri ketika membantu pasukannya membelasah Pahang FC 4-1 kelmarin menjadi tumpuan seluruh dunia dengan video sepakan bebasnya pada minit ke-62 itu menjadi viral di internet dan mendapat pujian penonton seluruh dunia.
Malah, akhbar Britain, Daily Mirror menyifatkan jaringan itu lebih menakjubkan berbanding gol pemain Brazil, Roberto Carlos pada 1997 dan jaringan itu layak untuk diletakkan dalam senarai calon anugerah Puskas untuk gol tercantik tahun ini.
JARINGAN cantik Faiz Subri mencetus fenomena apabila menarik perhatian media seluruh dunia, hingga dianggap calon utama untuk memenangi anugerah Puskas FIFA.
Faiz menjaringkan gol itu dari jarak kira-kira 30 meter dari sebelah kanan gawang Pahang FC. Bola sepakannya yang pada awalnya menuju ke sebelah kanan kemudian tiba-tiba menukar arah pada pertengahan perjalanannya di udara dan menerjah ke sebelah kiri gawang ketika penjaga gol Pahang, Mohd. Nasril Nourdin tidak boleh berbuat apa-apa.
Jaringan ajaib itu bukan sahaja memukau pemain-pemain Harimau Kumbang, Pahang dan peminat bola sepak negara tetapi juga peminat seluruh dunia.
Daily Mirror menyifatkan gol itu telah memadam kehebatan gol oleh Roberto Carlos dalam perlawanan menentang Perancis 19 tahun lalu.
“Pemenang Anugerah Puskas 2016? Saksikan sepakan pemain Malaysia yang sungguh melengkung sehinggakan melanggar hukum fizik” kata akhbar itu dalam tajuk edisi dalam taliannya.
“Apabila seseorang berkata ‘sepakan bebas Roberto Carlos’, setiap daripada anda akan segera teringatkan satu perkara.
“Le Tournoi (kejohanan persahabatan), 1997, Brazil lawan Perancis...dan sepakan lengkung yang terkenal itu. Sepakan bebas sekali seumur hidup yang melengkung dengan cara yang kelihatan mustahil dari segi fizik.
“Itu ialah detik yang sangat unik dan indah dalam sejarah bola sepak - kecuali tidak lagi unik sekarang,” kata akhbar itu.
Sebuah lagi akhbar Britain, Daily Telegraph turut mengongsikan video jaringan itu dengan tajuk “Sepakan seperti Roberto Carlos oleh Faiz Subri”.
Mengulas mengenai perkara tersebut, Faiz berkata dia langsung tidak menyangka jaringan yang dilakukannya kelmarin akan menjadi viral, apatah lagi gol itu turut dibandingkan dengan jaringan bekas bintang Real Madrid, Carlos.
“Saya memang tidak menyangka bahawa jaringan yang dilakukan oleh saya semalam (kelmarin) telah mendapat liputan daripada media tempatan dan juga antarabangsa. Saya juga tidak sangka turut menjadi viral di internet.
“Sebelum mengambil sepakan tersebut apa yang bermain di fikiran saya adalah untuk memasukkan bola ke dalam jaring. Itu sahaja. Alhamdulillah saya berjaya melakukannya,” katanya kepada Utusan Malaysia semalam.
Subscribe to:
Posts (Atom)










