Sunday, 21 February 2016

Sepakan percuma Faiz hasil teknik yang baik – Nasril {Kosmo}

NASRIL menyifatkan sepakan percuma Faiz yang menerjah sebelah kiri gawangnya sebagai teknik yang baik
JARINGAN menarik hasil sepakan percuma pemain Pulau Pinang, Mohd. Faiz Subri dalam perlawanan kedua Liga Super menentang Pahang di Stadium Bandaraya Selasa lalu adalah hasil daripada teknik sepakan yang baik, menurut penjaga gol Pahang, Mohd. Nasril Nourdin.
Menurutnya, tidak banyak perkara yang boleh dilakukan apabila bola tersebut yang pada mulanya menuju tepat ke arahnya secara tiba-tiba bertukar haluan menuju ke penjuru atas kanan gawang pada minit ke-62.
“Gol Faiz adalah satu teknik yang baik, ia mungkin dibantu faktor angin juga sebab saya memang sudah berada pada posisi yang betul untuk menyelamatkan sepakan tersebut, namun tiba-tiba bola itu berpusing.
“Saya tak boleh nak jangka pergerakan bola itu. Saya ucap banyak tahniah kepada Faiz kerana berjaya menjaringkan gol yang terbaik.
“Faktor lampu stadium tidak memainkan sebarang peranan untuk mengganggu penglihatan saya sebab bola itu menuju terus ke arah saya. Saya fikir ia faktor angin tapi saya pun tak tahu,” katanya.
Jaringan Faiz untuk gol ketiga itu membantu Pulau Pinang menewaskan Pahang 4-1 menjadi viral di media sosial dan disamakan dengan jaringan lencong oleh pemain pertahanan Brazil, Roberto Carlos dalam perlawanan menentang Perancis pada tahun 1997.
Ia disebut-sebut untuk dicalonkan bagi anugerah FIFA Puskas bagi tahun 2016 yang telah diperkenalkan pada tahun 2009 untuk mengiktiraf pemain yang menjaringkan gol cantik sempena nama penyerang Real Madrid Ferenc Puskas.

No comments:

Post a Comment