SELANGOR terus kempunan untuk mengakhiri kemarau kemenangan apabila dipaksa seri 1-1 oleh Juara Liga Super musim lalu, Johor Darul Takzim (Johor DT) pada perlawanan ketiga Liga Super di Stadium Shah Alam malam tadi.
Gergasi Merah garang mendahului 1-0 hasil sepakan padu pemain tengah kelahiran Indonesia, Andik Vermanshah di luar kotak penalti menewaskan penjaga gol Johor DT, Mohd. Farizal Marlias seawal 37 saat wisel sepak mula ditiupkan.
Tersentak dengan gol awal tersebut, barisan serangan Johor DT yang diketuai Luciano Figueroa telah melipatkan ganda usaha mengasak bertali arus kubu Selangor yang dikawal ketat penjaga gol, Norazlan Razali.
Peluang awal pasukan pelawat untuk menyamakan kedudukan hadir pada minit ke-26 menerusi sepakan deras penyerang import, Jorge Pereyra Diaz yang hampir menerjah gol, namun berjaya dikuis keluar Norazlan.
Begitupun keampuhan benteng pertahanan Selangor yang dikemudi kapten pasukan, Mohd. Shahrom Abd. Kalam akhirnya terlerai pada minit ke-61.
Figueroa mengambil kesempatan daripada situasi kelam-kabut di hadapan pintu gol pasukan lawan untuk menolak masuk bola sekali gus menewaskan Norazlan.
Jaringan penyaman Johor DT itu membuatkan kedua-dua pasukan yang beraksi di hadapan 25,000 penyokong tegar semakin bersemangat dengan berbalas-balas serangan, namun terpaksa berpuas hati berkongsi satu mata.
Seperti dijangka, perlawanan berlangsung hangat dengan aksi agresif pemain kedua-dua pasukan.
Pengadil, Samsudin Ibrahim terpaksa mengeluarkan empat kad kuning kepada pemain Selangor iaitu Mohd. Shahrom, Md. Azrif Nasrulhaq, Robert Cornthwaite dan Leandro Dos Santos manakala tiga pemain Johor DT turut menerima kad kuning iaitu Haris Harun, Safiq Rahim dan Marcos Antonio.
No comments:
Post a Comment