DURAKOVIC dijulang oleh para pemainnya selepas menjuarai Piala Malaysia dengan menewaskan TFC I 4-1 menerusi penentuan sepakan penalti.
KETUA Jurulatih Perak, Mehmet Durakovic menganggap final Piala Malaysia 2018 yang dimenangi selepas menewaskan Terengganu FC I (TFC I) 4-1 menerusi penentuan sepakan penalti akan terpahat sebagai perlawanan akhir paling epik dalam sejarah.
Pada aksi tersebut, skuad The Bos Gaurus ketinggalan 0-2 pada babak pertama hasil jaringan Tcetche Kipre tetapi Perak menunjukkan kebangkitan luar biasa pada separuh masa kedua dengan jaringan dua pemain tempatan, Muhd. Firdaus Saiyadi dan Brendan Gan.
Perak terus tertekan pada masa tambahan apabila Mohd. Faiz Nasir menjaringkan gol ketiga buat TFC I, namun nasib nyata menyebelahi skuad Durakovic apabila pemain pertahanan lawan, Igor Zonjic tertampan bola masuk gol ke gawang sendiri pada minit ke-120.
Kata Durakovic, barisan pemainnya merupakan hero sebenar perlawanan ini kerana mereka tidak pernah mengenal erti menyerah kalah meskipun beraksi dalam keadaan tertekan khususnya babak pertama.
“Saya anggap semua pemain telah berikan aksi yang cukup komited untuk bangkit sebanyak dua kali pada perlawanan ini yang boleh dianggap sebagai terbaik dalam sejarah Piala Malaysia.
“Malah, ketika kami beraksi kurang 10 pemain susulan layangan kad merah kepada Gilmar turut tidak memberi kesan terhadap pemain lain untuk berjuang sepenuh tenaga sehingga wisel penamat ditiupkan.
“Pujian turut diberikan kepada penjaga gol, Hafizul Hakim yang menjadi wira kami dengan menyelamatkan dua sepakan penalti pasukan lawan,” katanya selepas tamat perlawanan semalam.
Mengulas lanjut, Durakovic mengakui sangat gembira apabila koleksi Piala Malaysia yang dimenanginya kini bertambah kepada lima trofi selepas menjulang bersama Selangor sebanyak tiga kali sebagai pemain dan jurulatih (1).
“Saya tidak tahu untuk menyatakan trofi edisi mana paling manis tetapi saya boleh katakan kemenangan final bersama Perak berada dalam kelas tersendiri.
“Namun, saya gembira semua final yang saya harungi dilakukan di Stadium Shah Alam dan ia memberi makna signifikan buat saya secara peribadi,” katanya.
Perak mendakap Piala Malaysia buat kali kelapan, sekali gus menamatkan penantian 18 tahun selepas kali terakhir memenanginya pada edisi 2000 ketika menewaskan Negeri Sembilan 2-0.
No comments:
Post a Comment