Gol kemenangan pada hujung permainan yang disempurnakan oleh Xherdan Shaqiri menyaksikan kebangkitan Switzerland dalam perlawanan Kumpulan E di Kaliningrad selepas pemain tengah Arsenal, Granit Xhaka menyamakan kedudukan gol pembukaan Aleksandar Mitrovic.



Shaqiri dan Xhaka yang berasal dari Kosovo, bekas wilayah Serbia, telah mencetuskan suasana tegang sebelum dan sewaktu perlawanan.
Kedua-dua pemain berkenaan telah meraikan jaringan mereka dengan menunjukkan isyarat tangan double eagle yang mewakili bendera Kosovo dan merupakan simbol bantahan.

Walaupun kemenangan meletakkan Switzerland dalam kelompok teratas Kumpulan E yang turut disertai pemenang lima kali, Brazil, Petkovic ternyata tidak gembira dengan cara pemain-pemainnya meraikan jaringan mereka.

“Anda tidak sepatutnya mencampur adukkan politik dan bola sepak, bagus untuk menjadi peminat dan penting bagi menunjukkan rasa hormat.
“Ini cukup jelas dengan emosi yang ditunjukkan. Saya berpendapat baik di dalam mahupun di luar padang, kami perlu menjauhkan diri daripada politik dan fokus terhadap sukan yang mampu mewujudkan penyatuan,” kata Petkovic kepada pemberita selepas perlawanan.
No penalty for Mitrovic...



Shaqiri diejek sepanjang perlawanan oleh penyokong Serbia tetapi penyerang Stoke City itu melenyapkan ejekan tersebut menerusi jaringannya pada minit ke-90.
“Itu semua emosi. Saya sangat gembira menjaringkan gol, itu sahaja,” kata Shaqiri merujuk kepada caranya meraikan jaringannya.
Xhaka, yang menjaringkan gol pada minit ke-52, turut menunjukkan isyarat tangan yang sama selepas jaringannya. Bapanya adalah etnik Albania yang telah dipenjarakan di Serbia pada 1980-an. – AFP