Status selaku juara kejohanan Euro 2016 menyaksikan A Selecao dilihat bercita-cita tinggi untuk cuba memenangi trofi Piala Dunia buat kali pertama dengan pencapaian terbaik mereka sebelum ini ialah tempat ketiga pada edisi 1966 di England.
Ia boleh dilihat apabila ketua jurulatih Portugal, Fernando Santos berdepan kesukaran memilih barisan 23 terbaiknya sehingga beliau terpaksa ‘me­ngorbankan’ 10 pemain yang membantu Portugal merangkul gelaran Eropah di Perancis dua tahun lalu.

“Sebagai seorang profesional, saya terpaksa membuat keputusan ini walaupun saya sedar ia tidak dapat memuaskan hati semua pihak kerana mengetepikan nama-nama mereka yang telah memahat satu sejarah baru buat Portugal,” katanya.
Antara yang paling malang ialah penjaring gol kemenangan Portugal di pentas final Euro 2016 iaitu Eder selain Andre Gomes, Nani, Renato Sanches dan Eliseu.
Pemain tengah yang berpangkalan di Rusia, Manuel Fernandes, 32, dan tonggak pertahanan Napoli, Mario Rui merupakan antara dua muka baharu dibawa ke Rusia.
Ronaldo perlu memanfaatkan peluang beraksi pada Piala Dunia kali ini yg mungkin menjadi penampilan terakhir buatnya kerana faktor usia yg semakin meningkat

Skuad Portugal turun dengan reputasi Juara Euro 2016 & mengimpikan kejayaan buat kali pertama menjulang Piala Dunia

A Selecao pastinya sekali lagi mempertaruhkan kudrat penja­ring terbanyak negara itu, Cristiano Ronaldo yang baru sahaja melakar sejarah membantu Real Madrid menjua­rai gelaran Liga Juara-Juara tiga musim berturut-turut.
Sepanyol dilihat satu-satunya lawan sukar buat Portugal berban­ding dua wakil lain dalam Kumpulan B iaitu Maghribi dan Iran.
Bagaimanapun, pemain tengah Portugal dan bintang Leicester City, Adrien Silva menegaskan, dia dan rakan-rakan sepasukannya tidak boleh memandangkan rendah Maghribi dan Iran yang dianggap mampu mengundang padah kepada mereka.
“Tidak dinafikan Sepanyol memang kuat. Namun, bahaya buat Portugal jika cuma memberikan fokus kepada Sepanyol tanpa menghiraukan dua lagi pasukan lain.
“Piala Dunia bukan pentas ‘kanak-kanak’. Semua pasukan yang layak ke Piala Dunia berhak diberikan tumpuan sewajarnya sama seperti pasukan gergasi lain,” jelasnya.