Skuad The Bos Gaurus bermula garang pada babak pertama sebelum penyerang Perak, Wander Luiz berjaya menjaringkan gol pertama pada minit ke-27.
PEMAIN import pasukan Perak, Misagh Bahadoran (kiri) dari Filipina dan Wander Luiz Bitencourt dari Brazil 

Jaringan tersebut bagaimanapun dibatalkan oleh pengadil perlawanan, Fitri Maskon selepas pemain tersebut berada pada posisi offsaid di dalam kotak penalti Negeri Sembilan.

Lima minit kemudian, pemain import Perak, Gilmar Jose Da Silva melakukan rembatan deras ke arah pintu gol skuad Jang namun, bola tersebut terkena palang selepas penjaga gol, Muhammad Ilham Amirullah menepis percubaan tersebut.

Perak sekali lagi cuba untuk memecah kebuntuan gol apabila Gilmar sekali lagi melakukan tandukan cantik di hadapan pintu gol lawan namun, diselamatkan oleh pemain pertahan Negeri Sembilan, Mohd. Aizulridzwan Razali yang berada di garisan gol.

Anak-anak buah Mehmed Durakovic bagaimanapun berjaya menjaringkan gol pertama perlawanan menerusi jaringan pertama Brendan Gan dalam saingan Liga Super bersama Perak pada musim ini pada minit ke-55.
Jaringan tersebut terhasil apabila berlaku kekecohan di hadapan pintu gol Negeri Sembilan apabila pertahanan gagal mengeluarkan bola dari kawasan bahaya sebelum Brendan melakukan rembatan kencang untuk meledak gol pertama perlawanan.
Perak berjaya menjarakkan kedudukan gol pada minit ke-84 menerusi ledakan sepakan percuma yang diambil oleh Leandro Dos Dantos di luar kotak penalti.
Kedudukan 2-0 kekal ke wisel penamat perlawanan.
Kemenangan itu menyaksikan Perak melonjak ke kedudukan kedua Liga Super dengan 27 mata selepas memintas Pahang yang mempunyai baki satu perlawanan manakala Negeri Sembilan berada di kedudukan kedua tercorot liga. - K! ONLINE