BRENDAN (kanan) meraikan kejayaan bersama para penyokong Perak selepas kejayaan menjulang Piala Malaysia di Stadium Shah Alam malam kelmarin.
PEMAIN berdarah kacukan skuad Perak, Brendan Gan mengakui tidak menyangka impiannya untuk menjulang Piala Malaysia tercapai selepas membantu pasukannya menewaskan Terengganu FC I (TFC I) di pentas final penuh dramatik di Stadium Shah Alam kelmarin.
Lebih manis, Brendan dinobatkan sebagai Pemain Terbaik Perlawanan pada aksi yang terpaksa berlanjutan sehingga penentuan sepakan penalti selepas kedua-dua pasukan terikat 3-3.
Pemain kacukan Malaysia-Australia itu menghidupkan peluang buat Perak yang ketinggalan 0-2 selepas tamat babak pertama dengan mencipta peluang jaringan buat Muhd. Firdaus Saiyadi sebelum meledak gol peribadi pada masa kecederaan babak kedua.
Brendan berkata, menjaringkan gol di pentas final bagaikan mimpi menjadi kenyataan memandangkan dia tidak begitu mahir dalam menembusi gawang lawan berdasarkan rekod jaringan yang dilakukan sepanjang kariernya.
“Saya bergurau dengan rakan sepasukan pada sesi latihan sebelum aksi final ini bahawa saya akan menjaringkan gol pada saat genting. Lebih menarik, ini adalah jaringan pertama saya menggunakan kaki kiri.
“Apa yang pasti, saya gembira dapat menghidupkan peluang Perak untuk mengheret perlawanan ke masa tambahan kerana pasukan kami berhak meraih keputusan tersebut,” katanya selepas tamat perlawanan.
Mengulas lanjut, kejayaan merangkul trofi pertama dalam kariernya itu dilihat mampu memadam memori hitam selepas bergelut dengan kecederaan sepanjang tahun lalu.
“Saya mengharungi musim sukar tahun lalu dengan beberapa siri kecederaan berulang. Menjulang Piala Malaysia boleh dianggap satu bonus memandangkan ia trofi pertama dalam karier saya.
“Buat masa ini, saya mahu meraikan kemenangan ini terlebih dulu sebelum memikirkan masa depan saya (sama ada mahu kekal bersama Perak atau sebaliknya,” kata bekas pemain Kelantan berusia 30 tahun itu.
No comments:
Post a Comment