LONDON – Chelsea sah memecah rekod dunia bagi pembelian pemain di posisi penjaga gol selepas menandatangani Kepa Arrizabalaga dari Athletic Bilbao dengan nilai perpindahan sebanyak £71.6 juta (RM375.4 juta) semalam.
Keputusan tersebut sekali gus mengatasi rekod yang dilakukan oleh Liverpool yang membeli penjaga gol antarabangsa Brazil, Alisson Becker dengan nilai £67 juta (RM351 juta) dari AS Roma bulan lalu
Chelsea yang terdesak untuk mencari penjaga gol baharu selepas Thibaut Courtois berhijrah ke Real Madrid telah menawarkan kontrak selama tujuh tahun kepada Arrizabalaga dan pemain berusia 23 tahun itu dijangka melakukan penampilan pertama dalam aksi pembukaan Liga Perdana England minggu ini.
“Saya akui ini adalah keputusan paling penting dalam karier bola sepak saya dan saya tidak sabar untuk bertemu dengan rakan-rakan sepasukan pada sesi latihan.
“Banyak perkara yang membuatkan saya tertarik dengan Chelsea kerana ini antara kelab terbesar di England dan telah menjuarai pelbagai trofi domestik dan Eropah.
“Malah, pemain yang mereka juga memiliki berkelas dunia. Justeru, saya percaya keputusan untuk berhijrah ke sini sangat tepat,” katanya.
Arrizabalaga merupakan pemain antarabangsa Sepanyol keenam berada dalam skuad Chelsea selepas Cesar Azpilicueta, Marcos Alonso, Cesc Fabregas, Pedro dan Alvaro Morata.
Sementara itu, Pengarah Sukan Chelsea, Marina Granovskaia mengakui pelaburan yang dibuat untuk membawa Arrizabalaga ke Stamford Bridge sangat berbaloi kerana penjaga gol itu masih muda dan berpotensi untuk menjadi pemain berkelas dunia.
– Agensi
No comments:
Post a Comment