Saturday, 19 September 2015

Wenger gagal tutup mulut Mourinho [kosmo]

LONDON – Pengendali Arsenal, Arsene Wenger gagal menutup mulut pengurus Chelsea, Jose Mourinho apabila Kurt Zouma dan Eden Hazard masing-masing menggegarkan jaring gawang The Gunners bagi mencetak kemenangan 2-0 pada aksi saingan keenam Liga Perdana England di Stamford Bridge malam tadi.


Perlawanan itu turut menyaksikan Hazard mencetak gol pertamanya untuk Chelsea menjelang minit akhir selepas gagal mempamerkan watak penjaring sepanjang lima aksi saingan sebelum ini.
Terdahulu, gol pertama Chelsea ke atas Arsenal dijaringkan Zouma menerusi bola tanduk pada minit ke-53 selepas memanfaatkan hantaran dilakukan Cesc Fabregas.
Selepas menewaskan Maccabi Tel Aviv 4-0 bagi aksi kempen Liga Juara-Juara pada Rabu lalu, kejayaan menundukkan Arsenal malam tadi turut menjadi kemenangan pertama Chelsea di Stamford Bridge.
Perlawanan malam tadi menyaksikan skuad kendalian Wenger terlebih dahulu mempamerkan dominasi untuk mengulangi kejayaan mereka menewaskan Chelsea dalam kancah perebutan Piala Perisai Komuniti pada Ogos lalu, namun The Blues pantas memanfaatkan peluang untuk membalas serangan tempang The Gunners yang kehilangan Gabriel Paulista dan Santi Cazorla akibat dilayangkan kad merah.
Dalam pada itu, John Terry sekali lagi ditempatkan di bangku simpanan yang menyaksikan percaturan Mourinho memberi tugasan kepada Branislav Ivanovic untuk memikul peranan ketua pasukan.
“Mengenai Terry, ia adalah sebahagian daripada taktik saya. Keputusan itu (kedudukan Terry) juga adalah untuk melihat aksi serangan yang mampu dilakukan Arsenal,” kata Mourinho. – Agensi

No comments:

Post a Comment