LIVERPOOL – Jaringan hattrick pemain gantian Steven Naismith membantu Everton menewaskan Chelsea 3-1 sekali gus menambah sengsara juara Liga Perdana Inggeris itu yang kini telah kalah tiga perlawanan musim ini.
Naismith, yang masuk pada awal perlawanan, menjaringkan dua gol pada babak pertama dan menutup aksi hebatnya dengan mempamerkan kelicikan individu untuk menjaringkan gol ketiga.
Nemanja Matic menjaringkan gol sagu hati Chelsea menerusi percubaan cantik dari jarak jauh, tetapi pastinya tidak cukup untuk meredakan kegusaran Jose Mourinho kerana pasukannya kini hanya mengutip empat mata daripada lima perlawanan pertama mereka.
Pertahanan Chelsea, walaupun diperkuatkan dengan kembalinya John Terry daripada penggantungan, nampak goyah dan tidak teratur sepanjang perlawanan dan mereka sebenarnya boleh dibolosi lebih banyak.
Everton mengalami kejutan awal apabila Muhamed Besic digantikan pada minit kesembilan selepas berlaga dengan Kurt Zouma, yang memaksa Naismith dimasukkan awal ke dalam padang.
Keadaan itu rupanya anugerah untuk Toffees, apabila bintang antarabangsa Scotland, Naismith segera memberikan impak dan meletakkan skuad Roberto Martinez di hadapan enam minit kemudian setelah dia menewaskan begitu ramai pemain Chelsea untuk menanduk masuk melepasi penjaga gol Asmir Begovic.
Everton hampir menambah gol dua kali dalam masa dua minit tetapi Begovic, yang menggantikan Thibaut Courtois yang cedera, pantas menyelamatkan gawangnya.
Namun, Everton yang terus menguasai padang akhirnya menambah gol kedua apabila Naismith sekali lagi menemui sasaran setelah berganding dengan Ross Barkley dan Romelu Lukaku.
Kelalaian tuan rumah bagaimanapun membenarkan Chelsea merapatkan jurang gol apabila Matic melepaskan rembatan dari jarak 30 meter melepasi Tim Howard yang melayangkan badan.
Bagaimanapun, Everton kembali mendapat momentum selepas rehat dan Lukaku menyaksikan percubaannya ditepis oleh Begovic berhampiran tiang.
Penyerang Belgium itu, yang menyertai Everton daripada Chelsea secara tetap pada Julai 2014, turut bertindak bagus dengan membantu tuan rumah membuat serangan balas.
Mourinho kemudian cuba menyemarakkan bahagian serangan pasukannya dengan memasukkan Radamel Falcao menggantikan Pedro Rodriguez.
Tetapi mereka tidak mampu menghalang Naismith apabila pemain berusia 28 tahun itu mengejar umpanan Barkley sebelum melakukan penyudah dari sudut kecil melepasi kawalan Begovic. – AFP
No comments:
Post a Comment