Penyerang import, Gilberto Fortunato muncul wira skuad The Fighters apabila menjaringkan dua gol pada minit kelima dan ke-66.
Rakan pemain import, Thiago Augusto Fernandes turut mencipta nama sebagai penjaring gol untuk Felda United pada minit ke-39, manakala gol sagu hati skuad Bujang Senang pula dijaringkan oleh tonggak import, Mateo Roskam pada minit ke-44.
Kemenangan itu bermakna skuad The Fighters menamatkan penantian mereka untuk beraksi semula dalam Liga Super 2019 selepas menerima tamparan hebat apabila disahkan tidak layak beraksi dalam Liga Super musim ini gara-gara kegagalan mendapatkan lesen daripada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) sebelum ini.
Mengulas mengenai aksi menentang skuad kendalian Ian Andrew Gillan, Sathianathan memuji persembahan cemerlang yang ditampilkan oleh anak-anak buahnya sepanjang 90 minit perlawanan.
Katanya, para pemainnya telah bertungkus lumus dan berlatih bersungguh-sungguh untuk sepanjang musim ini dalam merealisasikan impian untuk merangkul mahkota Liga Premier 2018.
“Tahniah saya ucapkan kepada para pemain yang membawa kepada kejuaraan Liga Premier 2018. Penat lelah mereka sepanjang musim ini berhasil menerusi kejayaan manis ini.
“Pasukan bimbingan saya begitu tenang malah berjaya mencipta kemenangan ini meskipun kita ada dua lagi baki perlawanan selepas ini. Kita tidak perlu lagi tunggu untuk ditabalkan sebagai juara Liga Premier 2018,” katanya kepada pemberita sejurus tamat perlawanan semalam.
Sementara itu, penolong ­ketua jurulatih Sarawak, Pengiran Bala tetap berpuas hati ­dengan prestasi para pemain skuad Bujang Senang meskipun tewas di hadapan penyokong sendiri.
“Kita akur dengan kekuatan pasukan lawan (Felda United) dan saya ucapkan tahniah kepada mereka selepas sah dinobatkan juara Liga Premier 2018,” katanya.