KUALA TERENGGANU - Kelantan sah tersingkir ke Liga Premier musim depan selepas tumbang 0-2 di tangan Terengganu Football Club I (TFC I) pada aksi Liga Super di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu sebentar tadi.
Biar pun masih berbaki satu perlawanan, skuad The Red Warriors yang sekadar mampu mengutip 15 mata sepanjang musim ini tidak mampu lagi mengejar Selangor di tangga ke-10 sekali gus memusnahkan misi keluar dari zon penyingkiran.
Kali terakhir Kelantan yang pernah menjuarai Liga Super pada musim 2011 dan 2012 beraksi di Liga Premier ialah pada 10 tahun lalu.
Turut mengiringi skuad bimbingan Yusri Che Lah mengucapkan selamat tinggal kepada Liga Super ialah Negeri Sembilan yang turut berkongsi 15 mata.
Bagi TFC I pula, kemenangan tipis itu membolehkan skuad Penyu kembali ke tangga keempat liga dan berkongsi 34 mata dengan Pahang di tangga ketiga.
Penyerang sensasi TFC I, Tchetche Kipre meledak gol pertama tuan rumah menerusi rembatan kencangnya pada minit ke-44.
Penjaga gawang Kelantan, Mohd. Shahrizan Ismail tewas buat kali kedua selepas gagal menahan rembatan deras pemain pertahanan tuan rumah, Mohamad Kamal Azizi Mohamad Zabri para minit ke-53.
TFC I berpeluang menambah gol ketiga namun Kipre gagal menyempurnakan tendangan penalti yang meliar melepasi palang gawang Kelantan pada minit ke-84. - K! ONLINE
KUALA LUMPUR - Negeri Sembilan terpaksa mengucapkan selamat tinggal kepada Liga Super selepas terpaksa akur turun pangkat ke Liga Premier musim depan.
Kekalahan skuad Hobin Jang Hobin 1-2 kepada Kuala Lumpur di Stadium Kuala Lumpur, Cheras sebentar tadi mengesahkan kedudukan tersebut bahawa mereka hanya semusim beraksi di liga utama negara.
Berikutan kekalahan itu, Negeri Sembilan terpaksa menghuni tempat ke-11 setelah mengumpul 15 mata hasil empat kemenangan dan tiga seri, ketinggalan enam mata berbanding Selangor di kedudukan ke-10 yang mengutip 21 mata.
Berbaki satu perlawanan bertemu Melaka United di Paroi, Negeri Sembilan pada 28 Julai ini, peluang untuk skuad Hobin Jang Hobin kekal di Liga Super musim depan sudah tertutup.
Pada aksi sebentar tadi, Kuala Lumpur meraih gol hasil sentuhan Bobirjon Akbarov pada minit ke-42 dan Indra Putra Mahayuddin (m-86), manakala gol sagu hati Negeri Sembilan pula dijaringkan oleh Alex Moraes (m-43).
Dalam pada itu, nasib Kelantan juga bagai telur di hujung tanduk apabila wajib menang besar pada aksi menentang Terengganu Football Club I (TFC I) di Kuala Terengganu pada pukul 9 esok dan menentang Pahang di Kuantan pada 29 Julai.
Kelantan ketika ini menghuni tangga tercorot dengan 15 mata hasil empat kemenangan dan tiga seri. - K! ONLINE
No comments:
Post a Comment