PENYERANG Kelantan, Erwin Carrillo (tengah) cuba melakukan sepakan gunting dalam perlawanan Liga Super menentang Felda United di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu semalam -
KUALA LUMPUR – Felda United meneruskan reputasi mereka selaku ‘giant killer’ Liga Super apabila mengukuhkan cengkaman pendahulu dengan menundukkan Kelantan 1-0 di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu semalam.
Namun kerancakan Liga Super dicemari dengan insiden balingan bom asap di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, yang menyaksikan juara Piala Malaysia dan Piala FA, Pahang kalah mengejut 1-0 kepada ATM.
Bagaimanapun, insiden memalukan itu tidak menjejaskan skuad kendalian B. Sathianathan untuk melakar kemenangan pertama mereka musim ini, berterima kasih kepada jaringan tunggal Abdulafees Abdul Salam pada minit ke-71.
Dalam aksi di Kota Bharu, gol tunggal penyerang Liberia, Edward Junior Wilson pada minit ke-61 sudah memadai untuk The Fighters membawa pulang tiga mata berharga, sekali gus mengekalkan rekod tanpa kalah dalam lima perlawanan.
Kemenangan itu menyaksikan mereka mengungguli liga dengan 11 mata, dua mata meninggalkan pasukan tangga kedua, PDRM.
Selepas tumpas 1-4 kepada Selangor minggu lalu, PDRM bangkit dengan cemerlang apabila menghukum 10 pemain Perak 3-1 di di Stadium Perak, Ipoh.
Tuan rumah mendahului permainan sejurus babak kedua bermula menerusi Muhammad Nurridzuan Abu Hassan.
Namun The Cops menyamakan kedudukan menerusi sepakan penalti Dramane Traore pada minit ke-47, sebelum Ahmad Ezrie Shafizie menjaringkan gol kedua pada minit ke-55.
Perak beraksi dengan 10 pemain apabila Syazwan Roslan dibuang pada minit ke-58 dan kesempatan itu digunakan sebaiknya oleh PDRM untuk meraih gol ketiga menerusi Traore pada minit ke-62.
Sime Darby akhirnya meraih mata pertama musim ini selepas mengikat Johor Darul Ta’zim (JDT) 1-1 di Stadium Selayang.
Tuan rumah mendahului pada minit ke-35 menerusi pemain gantian, Nazrul Kamaruzaman namun JDT bangkit untuk meraih sekurang-kurangnya satu mata menerusi gol penyamaan Junior Eldstal di minit ke-61.
Dalam aksi di Stadium Jalan Besar, Singapura, Lions XII terikat 1-1 dengan Terengganu.
Terengganu mendahului seawal minit kesembilan menerusi Vincent Bikana, namun tuan rumah menyamakan kedudukan menerusi Faris Ramli pada minit ke-55.