SHAH ALAM - Ahmad Hazwan Bakri menjaringkan dua gol pada setiap awal babak untuk memastikan Selangor merangkul Piala Malaysia pertama kali dalam tempoh 10 tahun dan memenuhi Misi 33 mereka selepas mengalahkan Kedah yang kehilangan penjaga gol Firdaus Muhamad di gelanggang keramat mereka di Stadium Shah Alam semalam.
Selangor juga harus berterima kasih kepada pemain dari Brazil, Guilherme de Paula yang mencipta kedua-dua peluang untuk Hazwan menjaringkan gol selain beberapa kali mencemaskan barisan pertahanan Kedah menerusi umpanan tepatnya.
Kemenangan itu juga membalas dendam mereka ke atas skuad Lang Merah, yang kembali dibimbing oleh Tan Cheng Hoe yang pulang dari China kelmarin, setelah kalah kepada skuad Hijau Kuning itu dalam perlawanan akhir 2008.
Kekalahan Kedah bermakna impian mereka untuk merangkul trofi kedua musim ini, setelah muncul juara Liga Perdana dan akan beraksi dalam Liga Super musim depan, musnah dalam perlawanan yang bermula lewat 15 minit daripada jadual.
Skuad Lang Merah jelas tidak terurus di bahagian pertahanan sehingga menyebabkan Firdaus terperangkap pada minit ke-82 apabila terpaksa keluar dari kawasan gol untuk menepis percubaan pemain gantian S. Venod di luar kawasan gol.
Walaupun bermula dengan perlahan disebabkan padang basah akibat hujan sejak petang dan masih renyai-renyai ketika sepak mula dilakukan, Selangor tiba-tiba mendapat peluang dan menggunakannya dengan sempurna untuk mendahului 1-0 pada minit ketiga.
Keghairahan Kedah untuk mendapat gol awal memerangkap diri mereka apabila de Paula menerima bola berhampiran garisan tengah, mengawal dengan baik sebelum membuat umpanan lintang cantik kepada Ahmad Hazwan yang meluru di sebelah kanan untuk masuk ke dalam kawasan penalti dan menyungkit bola menggunakan kaki kiri untuk menewaskan Firdaus yang meluru keluar sehingga menggamatkan stadium yang dipenuhi kira-kira 80,000 penonton.
Pada minit ke-21, perlawanan menjadi tegang apabila Ahmad Hazwan mengkasari pemain tengah Kedah, Liridon Krasniqi yang mencetuskan pertelingkahan di dalam kawasan Lang Merah sehingga menyebabkan penyerang Selangor itu diberikan kad kuning bersama-sama pemain Kedah, Chidi Edeh.
Tiga minit kemudian, Liridon hampir menyamakan kedudukan apabila membuat percubaan lintang dari hujung kiri gawang Selangor tetapi bola sedikit tersasar dari tiang kanan gol.
Perlawanan semakin kasar selepas itu apabila kedua-dua pasukan membuat terjahan keras ke atas lawan masing-masing tetapi tidak menghalang de Paula untuk sekali lagi mencemaskan kubu Kedah pada minit ke-32 apabila mencuri bola di tengah dan membuat lorongan kepada Andik Vermansah namun ketua pasukan Kedah, Khairul Helmi Johari sempat menghalang sepakan pemain dari Indonesia itu sebelum mengeluarkan bola dari kawasan bahaya.
Kedah terus berusaha untuk mencari gol penyamaan tetapi hanya berjaya membuat percubaan tepat pertamanya pada minit kedua masa kecederaan apabila pemain pertahanan kanan Mohd. Rizal Ghazali melepaskan rembatan dari hujung kotak penalti tetapi ditepis melepasi palang oleh Norazlan Razali untuk memastikan Red Giants memasuki bilik persalinan dengan kelebihan.
Kedah sekali lagi terperangkap dengan serangan balas Selangor pada minit kedua selepas rehat apabila setelah sepakan bebas oleh pemain tengah Baddrol Bakhtiar dikekang dengan baik oleh pemain-pemain Red Giants dan de Paula sekali lagi melorongkan bola ke sebelah kiri untuk Ahmad Hazwan membuat sepakan dari hujung kotak penalti ke penjuru kiri gawang Firdaus yang keluar dari posisi untuk gol kedua perlawanan.
Kedah kemudian menyaksikan percubaan mereka untuk merapatkan jurang gol dihampakan oleh kekebalan Norazlan, penjaga gol yang berasal dari Tangkak, Johor, apabila dia menepis beberapa percubaan termasuk sepakan dari jarak dekat Sandro da Silva pada minit ke-67.
Selangor turut berpeluang menambah gol menerusi Venod pada minit ke-79 tetapi sepakan lemahnya mudah ditepis keluar oleh Firdaus yang kemudian dilayangkan kad merah tiga minit kemudian kerana menampan bola percubaan pemain yang menggantikan Ahmad Hazwan itu di luar kotak penalti.
Mendahului dengan selesa, Selangor kemudian lebih banyak berusaha untuk memeastikan bola tidak terlepas ke kaki lawan dan usaha mereka berjaya sehingga pengadil meniupkan wisel penamat.