MADRID – Bekas jurulatih Barcelona, Pep Guardiola percaya Atletico Madrid sangat beruntung apabila berjaya mendapatkan semula khidmat Fernando Torres yang telah kembali ke Vicente Calderon.
Jurulatih tersebut memuji keputusan yang dibuat oleh pengendali Atletico, Diego Simeone untuk membawa balik bekas kapten kelab itu dan percaya Atletico bakal menjadi salah satu pasukan yang mampu mengancam misi Bayern Munich yang dibimbingnya ketika ini untuk menjulang Liga Juara-Juara musim ini.
Torres meninggalkan La Liga pada 2007 untuk menyertai Liverpool dan kini kembali semula ke Sepanyol dengan status sebagai pemain pinjaman dari AC Milan selepas gagal menyerlah di San Siro dan Chelsea sebelum ini.
TORRES berjaya menjaringkan dua gol ketika Atletico menyingkirkan Real Madrid dengan aggregat 4-2 pada aksi Piala Raja Sepanyol, kelmarin.
Para pemerhati dan peminat Atletico sendiri pada awalnya meragui kemampuan Torres dan bimbang dia bakal menjadi beban kepada kelab tersebut namun, dua gol ketika menyingkirkan Real Madrid pada aksi Piala Raja Sepanyol mengejutkan ramai pihak.
“Torres merupakan pemain yang sangat baik, dia tahu Atletico adalah kelab yang sangat dekat di hatinya dan dia akan memberikan yang terbaik. Simeone gemar untuk menggunakan taktikal serangan balas pantas dan Torres adalah sangat sesuai dengan corak permainan tersebut,” katanya.
Guardiola turut menamakan Atletico sebagai salah satu daripada lima pasukan yang mampu untuk menjulang kejuaraan Liga Juara-Juara musim ini bersama Real Madrid, Barcelona, Chelsea dan gergasi Perancis, Paris Saint-Germain. – Agensi
No comments:
Post a Comment