Monday, 3 August 2015

Arsenal bikin Chelsea merana




--------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------

LONDON – Trofi Perisai Komuniti kekal menjadi milik Arsenal selepas mencatatkan kemenangan tipis 1-0 ke atas Chelsea pada aksi yang berlangsung di Stadium Wembley malam tadi.
Malah, ia juga merupakan kali kedua berturut-turut The Gunners berjaya merangkul kejuaraan tersebut selepas menewaskan Manchester City 3-0 pada kempen musim lalu.
Pada aksi tersebut, kedua-dua pasukan dilihat lebih gemar mengamalkan corak permainan berhati-hati sehingga menyaksikan bola lebih banyak berlegar di kawasan tengah.
Namun, Arsenal lebih bernasib baik apabila berjaya memecah kebuntuan melalui satu serangan balas pantas yang disempurnakan dengan baik oleh Alex Oxlade-Chamberlain yang melepaskan rembatan kencang dari luar kotak penalti pada minit ke-24.
Percubaannya menerjah terus ke gawang pasukan lawan tanpa dapat diselamatkan oleh penjaga gol The Blues, Thibaut Courtois.
Pengurus Chelsea, Jose Mourinho yang terdesak mencari gol penyamaan membuat keputusan untuk menurunkan penyerang baharu, Radamel Falcao dan Oscar menggantikan Loic Remy serta Ramires sebaik aksi separuh masa kedua bermula, namun ia tidak membawa sebarang perubahan.
Di sebalik aksi hambar skuad kendalian Mourinho itu, mereka tetap memiliki peluang untuk meloloskan diri menerusi sepakan percuma Oscar pada minit ke-68, namun ia sedikit tersasar.
Kemenangan tersebut membuktikan The Gunners berada di landasan tepat untuk kembali lebih menyerlah pada kempen Liga Perdana England musim ini yang akan bermula secara rasminya 8 Ogos ini.
Arsenal dijadualkan menentang West Ham United di Stadium Emirates, Ahad depan manakala Chelsea pula akan memulakan kempen mempertahankan gelaran juara dengan menanti kunjungan Swansea City. – Agensi

No comments:

Post a Comment