ARSENAL menamatkan badi selepas menewaskan Chelsea 1-0 pada aksi perebutan trofi Perisai Komuniti di Wembley kelmarin.
LONDON – Pengurus Arsenal, Arsene Wenger percaya, para pemainnya berjaya mengharungi cabaran psikologi paling getir selepas menewaskan Chelsea pada aksi perebutan trofi Perisai Komuniti kelmarin.
Sebagai rekod, Arsenal tidak pernah menewaskan Chelsea menerusi 13 perlawanan sebelum ini dan kesan psikologi dalam kalangan pemain yang wujud akibat siri kekalahan tersebut dilihat sebagai rintangan terbesar untuk diatasi.
Bagaimanapun, kejayaan Alex Oxlade-Chamberlain menja ringkan gol untuk merekodkan kemenangan 1-0 ke atas Chelsea kelmarin sekali gus meleburkan rasa was-was Arsenal terhadap keupayaan sebenar mereka dalam menghadapi cabaran The Blues menjelang musim depan.
“Kemenangan itu sangat pen- ting untuk para pemain keluar daripada kebiasaan (kekerapan tewas kepada Chelsea). Perlawanan itu juga bukan mengenai perselisihan antara Arsene Wenger dengan Jose Mourinho (pengurus Chelsea), ia tidak sama sekali.
“Ia kerana perlawanan itu bukan untuk saya. Ia adalah perlawanan melibatkan dua buah pasukan antara Arsenal dengan Chelsea,” ujar Wenger.
Pada aksi perebutan trofi itu, Chelsea terlebih dahulu mempamerkan penguasaan sebelum Arsenal memanfaatkan peluang untuk menjaringkan gol.
Hubungan Wenger dengan Mourinho semakin tegang sejak Februari lalu apabila kedua-dua pengendali itu saling mengkritik rentak permainan yang diterapkan ke dalam skuad masing-masing.
Wenger mengkritik Mourinho kerana kerap mengemudi Chelsea melakukan aksi serangan balas yang dianggap sebagai tidak menghormati pasukan lawan.
Selepas tamat aksi perlawanan Perisai Komuniti, Mourinho dilihat berjabat tangan dengan para pemain Arsenal, namun tidak melakukan perkara sama terhadap Wenger yang berada di belakangnya.
“Saya telah berjabat tangan dengan semua orang selepas tamat perlawanan dan tiada yang istimewa. Kalau dia (Mourinho) masih tidak tahu menghormati orang lain, biarkan. Saya akan tetap menghormati semua orang,” tegas Wenger. – Agensi
No comments:
Post a Comment