LONDON – Arsenal memberi tamparan hebat terhadap harapan Liverpool untuk melayakkan diri ke Liga Juara-juara, setelah mereka membenam The Reds 4-1, sekali gus membolehkan skuad bimbingan Arsene Wenger itu mendaki ke anak tangga kedua dalam carta Liga Perdana Inggeris semalam.
Gunners meledakkan tiga gol dalam tempoh lapan minit pada babak pertama perlawanan yang berlangsung di Emirates, menerusi jaringan Hector Bellerin, Mesut Ozil dan Alexis Sanchez.
Kapten Liverpool, Jordan Henderson menyumbat gol tunggal pasukan pelawat pada minit ke-75 hasil sepakan penalti selepas Bellerin menjatuhkan Raheem Sterling, tetapi tidak lama selepas itu, Emre Can dibuang padang kerana menerima kad kuning kedua.
Kepincangan tersebut dimanfaatkan sebaik mungkin oleh Arsenal yang menggegar gawang Liverpool buat kali keempat menerusi Olivier Giroud pada minit ke-91.
Kemenangan itu juga membolehkan Arsenal memintas kedudukan juara bertahan, Manchester City yang hanya akan bertandang ke Crystal Palace pada Selasa ini.
Kecundang 1-2 di tangan Manchester United sebelum cuti rehat antarabangsa, bermakna Liverpool kini kalah dua kali berturut-turut.
Skuad bimbingan Brendan Rodgers yang sebelum ini berjaya mengekalkan rekod 13 perlawanan tanpa kalah, gagal mengekalkan aksi konsisten dan mereka kini berdepan risiko dipintas pencabar terdekat Southampton serta Tottenham Hotspur.
Dengan tujuh perlawanan yang masih berbaki, anak-anak buah Rodgers kini memikul tugas berat untuk memastikan slot Liga Juara-juara berada dalam genggaman mereka, selain mengharapkan kesilapan akan turut dilakukan oleh pesaing Reds.
Bagi Arsenal pula, kemenangan selesa yang dilakar semalam bakal memberi suntikan semangat tambahan buat skuad bimbingan Wenger itu untuk terus berjuang dan menghadirkan persaingan sengit ke atas Manchester City serta Chelsea. – AFP
No comments:
Post a Comment